
Ahli Parlimen Subang Wong Chen, berkata unjuran pendapatan pada 2022 adalah tinggi, berbanding pendapatan bersih pada 2019, sebelum pandemik Covid-19, dan selepas menyelesaikan tunggakan bayaran balik cukai dan dividen khas RM30 bilion Petronas.
“Ini tidak logik dan jumlah pendapatan sekali lagi cacat,” kata Wong dalam artikel bagi surat khabar komuniti.
Wong berkata beliau juga sebelum ini menyangkal unjuran pendapatan dalam Bajet 2021 dan dibuktikan tepat “apabila kerajaan berdepan masalah aliran tunai pada awal 2021 dan terpaksa menyemak semula jangkaan perbelanjaan operasi (Opex).”
Katanya, kerajaan menjangkakan unjuran kadar pertumbuhan ekonomi tahun depan menjana RM234 bilion pendapatan bercukai dan pendapatan bukan cukai, yang disifatkan sebagai “terlalu optimistik”.
Ini bermakna, jangkaan perbelanjaan operasi pada 2022 menjadi tidak mapan. Bagaimanapun, beliau berharap lebihan anggaran berkenaan “tidak terlalu terpesong dan tidak mengganggu operasi kerajaan pada margin luas”.
Dalam analisis Bajet 2022, Wong berkata anggaran RM75.6 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, adalah “terlalu besar”, selain terbesar pernah direkodkan dalam sejarah pembentangan bajet negara.
Didanai dengan pinjaman, ia akan menyaksikan negara berdepan “hutang bertimbun yang besar” termasuk membayar hutang RM43 bilion, tahun depan.
Wong berkata, disiplin fiskal kerajaan yang berturutan diuruskan secara buruk bukan sahaja dalam pentadbiran semasa, mengakibatkan negara menanggung hutang yang besar.
Beliau berkata, kali terakhir Malaysia merekodkan bajet surplus adalah pada 1997, ketika Anwar Ibrahim, kini Presiden PKR, menjadi Menteri Kewangan.
Wong berkata, kerajaan sepatutnya mengamalkan dasar fiskal lebih bersesuaian dengan menumpukan pembentangan bajet terhadap usaha memulihkan semula ekonomi, tanpa berbelanja “secara tidak munasabah” dalam perbelanjaan pembangunan termasuk untuk membiayai projek mega.