
Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata kesemua empat ahli sindiket yang berumur lingkungan 25 hingga 51 tahun dikenal pasti bergiat aktif di sekitar Lembah Klang, sejak lima bulan lepas.
“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 30 kes jenayah ragut barangan kemas yang didalangi sindiket ‘Geng Ashmer’ yang aktif di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.
Menurut Beh dua daripada suspek didapati menyamar sebagai penghantar makanan sebelum meragut mangsa sementara suspek yang lain bertindak memantau keadaan sekeliling.
“Hasil siasatan lanjut, mendapati ahli sindiket dipercayai pernah bekerja sebagai pekerja penghantar makanan serta telah menggunakan beg penghantaran makanan yang pernah mereka gunakan bagi mengaburi mangsa,” katanya.
Beliau berkata dalam serbuan itu, antara dirampas termasuk 36 utas rantai emas, dua motosikal dan dua beg penghantar makanan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah berkenaan.
“Kesemua rampasan rantai leher emas itu dianggar bernilai RM55,000 dan sindiket didapati menjual hasil ragut barangan kemas berkenaan kepada seorang lagi lelaki tempatan berumur 51 tahun di Selayang Baru,” katanya menambah hasil jualan emas itu kemudiannya akan dibahagikan dalam kalangan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Beh berkata pihaknya menahan empat lelaki melibatkan dua warga tempatan dan dua warga asing lingkungan usia 24 hingga 27 tahun kerana disyaki cuba menyeludup minuman keras di sebuah premis di Jalan Sentul Pasar, di sini, Khamis lepas.
Katanya, modus operandi suspek ialah dengan berselindung di sebalik premis perniagaan pemborong minuman keras dan dipercayai beroperasi sejak setahun lepas.
“Sebanyak 2,720 botol minuman keras pelbagai jenama ditemukan di dalam premis itu dipercayai barang tidak bercukai dengan nilai cukai dianggarkan RM100,000.
“Susulan itu, kesemua suspek ditahan reman tiga hari bermula 29 Okt untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki, menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup,” katanya.