Lelaki rugi hampir RM300,000 ditipu ‘wakil insurans’, ‘polis’

Lelaki rugi hampir RM300,000 ditipu ‘wakil insurans’, ‘polis’

Dia mendakwa dihubungi suspek mengatakan telah membuat tuntutan palsu dengan syarikat insurans.

Mangsa diarahkan diarahkan membuat pinjaman peribadi dengan bank sebelum diminta menyerahkan maklumat perbankan kepada individu terbabit, kata Ketua Polis Muar Raiz Mukhliz Azman Aziz. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki kerugian hampir RM300,000 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai wakil insurans dan polis.

Penolong pesuruhjaya bangunan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) berusia 48 tahun itu mendakwa telah dihubungi seorang individu pada Disember tahun lalu yang mengatakan dia terbabit dalam membuat tuntutan pembedahan palsu dengan syarikat insurans.

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata panggilan terbabit kemudiannya disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai ‘pegawai polis’ dan ‘timbalan pendakwa raya’

Katanya, mangsa diarahkan diarahkan membuat pinjaman peribadi dengan bank sebelum diminta menyerahkan maklumat perbankan kepada individu terbabit.

“Mangsa mendakwa suspek mengarahkannya berbuat demikian bagi tujuan siasatan serta jaminan bagi ‘kes’ yang dihadapinya.

“Kerana percaya dengan dakwaan itu, mangsa melakukan beberapa transaksi secara berperingkat sejak 5 Januari lalu sehingga bulan ini dengan jumlah keseluruhan RM273,600,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun menyedari dia ditipu apabila wang dalam akaun yang merangkumi pinjaman bank serta simpanan peribadi berkurangan.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di IPD Muar pada 12.31 tengah hari semalam.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.