
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata suspek berpangkat deputi superintenden (DSP) itu pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan telah digantung tugas sejak 23 Jan lalu.
“Suspek dipercayai memainkan peranan utama dalam mendalangi operasi kumpulan terbabit, termasuk merancang dan menyelaras pergerakan mereka,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, enam lelaki tempatan berusia 31 hingga 51 tahun, termasuk pegawai polis tersebut dan dua pengawal peribadi ditahan berikutan tiga kejadian samun di kediaman warga asing.
Dalam kejadian dilaporkan berlaku antara 5.30 pagi hingga 7.30 pagi itu, kumpulan suspek dikesan menyamar sebagai anggota polis untuk memecah masuk kediaman dua mangsa warga China dan seorang wanita warga Indonesia.
Malah, seorang daripada suspek turut dikesan mengacu objek menyerupai pistol bagi menakutkan mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.
Sindiket itu melarikan tiga kenderaan mewah jenis Rolls-Royce, Bentley, dan Toyota Alphard, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing bernilai USD1,200, pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas.
Selain penglibatan anggota berkenaan, Fadil berkata polis turut mendapati dua pengawal peribadi yang ditahan itu telah menyalahgunakan senjata api yang dilesenkan secara sah semasa melakukan siri samun terbabit.
Enam suspek itu kini direman tujuh hari hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395, 397, dan 170 Kanun Keseksaan.