
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata kumpulan itu dipercayai aktif melakukan samun dengan menyamar sebagai polis dan menyasarkan kediaman warga asing di sekitar Kepong.
“Polis menerima tiga laporan berasingan melibatkan kes samun bersenjata dan penyamaran sebagai penjawat awam di Sentul.
“Semua mangsa terdiri seorang wanita dan lelaki warga China serta seorang wanita Indonesia berusia antara 29 hingga 52 tahun,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kejadian berlaku antara 5.30 pagi hingga 7.30 pagi apabila suspek memecah masuk tiga kediaman mangsa di Kepong.
Katanya, siasatan lanjut membawa penahanan enam lelaki tempatan berusia 31 hingga 51 tahun, termasuk seorang pegawai polis yang digantung tugas atas kesalahan dadah dan dipercayai bertindak sebagai koordinator kumpulan.
“Dua lagi suspek bekerja sebagai pengawal peribadi dan dipercayai menyalahgunakan lesen senjata api bagi tujuan jenayah,” katanya.
Menurutnya, modus operandi kumpulan itu menyasarkan mangsa yang dikenal pasti memiliki harta bernilai tinggi sebelum melakukan samun.
Dalam tiga kejadian itu, suspek melarikan tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Rolls-Royce dan Bentley, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, USD1,200, barangan kemas serta dua jongkong emas dengan jumlah kerugian dianggarkan RM4.4 juta.
Fadil berkata, polis berjaya merampas semula semua kenderaan yang disamun selain dua pucuk pistol, lima kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit dan dua pas keselamatan.
Katanya, semua suspek direman tujuh hari dan ujian saringan air kencing mendapati seorang daripadanya positif dadah jenis amphetamine.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan kumpulan itu dalam kes jenayah lain,” katanya memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 395, 397 dan 170 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Fadil berkata tiga aktivis direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung gangguan terhadap ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Katanya, ketiga-tiga individu itu disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melakukan hasutan, ugutan dan menceroboh.
Kejadian kira-kira 2.45 petang itu berlaku ketika Azam menyampaikan ucapan pembukaan wacana ilmiah perdana.