Kelab judi dikendalikan ‘bos kaya’, umpan ‘Melayu elit’, dakwa Anwar

Kelab judi dikendalikan ‘bos kaya’, umpan ‘Melayu elit’, dakwa Anwar

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mempertikaikan mengapa tiada tindakan diambil.

Anwar Ibrahim berkata, lebih ramai orang Melayu mungkin terlibat dalam perjudian jika keadaan itu dibiarkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa “golongan Melayu elit” diumpan menyertai kelab perjudian yang dikendalikan oleh seorang “bos kaya”.

Beliau menyoal mengapa tiada tindakan diambil dalam kes itu sedangkan ada tindakan dikenakan terhadap orang lain.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, Anwar (PH-Port Dickson) berkata, maklumat mengenai premis perjudian yang dikendalikan kelab itu diperolehi melalui laporan media dan laporan polis.

Beliau menganggarkan terdapat kira-kira 62 cawangan kelab itu dengan 45% ahlinya adalah Melayu. Bagaimanapun Anwar tidak menyatakan lokasi premis judi tersebut.

“Apabila orang Melayu dibenarkan menjadi ahli, mereka dibenarkan berjudi,” katanya.

Tambahnya, ini boleh menyebabkan lebih ramai orang Melayu terlibat dalam perjudian.

Beliau juga bertanya mengapa perkara ini dibenarkan berlaku “secara terbuka di bawah kerajaan Melayu-Islam” dan mendakwa “ada usaha untuk menyembunyikan fakta-fakta ini”.

Anwar juga mahu Kementerian Kewangan memaklumkan kepada Parlimen mengenai jumlah kelab yang mempunyai mesin slot dan jika ia mempunyai ahli dalam kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, maklumat berkenaan boleh diperoleh daripada aplikasi MySejatera apabila ahli terlibat keluar masuk dari premis seperti itu. Malah katanya, satu cawangan premis seperti itu di Bukit Kiara juga telah dipaparkan dalam satu video.

Katanya lagi, pemilik terlibat yang didakwanya memiliki beberapa cawangan, menjemput “orang Melayu elit” untuk menyertainya namun tiada tindakan diambil.

Beliau juga meminta siasatan terhadap perkara itu dengan mendakwa ada laporan polis yang telah dibuat.

Anwar juga menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memeriksa syarikat yang menjalankan premis seperti itu.

Sementara itu, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) ketika mencelah berkata, kerajaan sekarang seolah-olah memberi laluan kepada cabutan khas tambahan judi 4D.

Beliau meminta Kementerian Kewangan menyatakan mengapa terdapat keperluan untuk menambah bilangan cabutan khas daripada lapan kepada 22.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.