Kerugian pembatalan pengecualian kabotaj tidak dibuktikan secara ‘saintifik’, kata Wee

Kerugian pembatalan pengecualian kabotaj tidak dibuktikan secara ‘saintifik’, kata Wee

Menteri Pengangkutan itu berkata, kerugian itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik atau justifikasi kerana hanya berpandukan apa yang didedahkan bekas Pengerusi MDEC.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang pada program ‘Debat Kabotaj Negara’ yang disiarkan secara langsung di TV3 dan Astro Awani malam ini.
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong membidas dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai pembatalan pengecualian kabotaj telah menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit dalam potensi pelaburan data.

Beliau berkata, kerugian itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik atau justifikasi kerana hanya berpandukan apa yang didedahkan oleh bekas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Rais Hussin.

“Kerugian yang dikatakan RM12 bilion hingga RM15 bilion ini anggaran Rais Husin.

“Itu yang menjadi masalah sehingga menyebabkan kita terdengar khabar angin tetapi tidak dapat dipastikan dan dibuktikan dengan secara saintifik,” katanya dalam ‘Debat Kabotaj Negara’ antara Wee dan Lim yang disiarkan secara langsung di TV3 dan Astro Awani.

Sebelum ini timbul perdebatan hangat antara dua pemimpin parti politik berkenaan, mengenai dasar kabotaj dilaksanakan kerajaan, yang didakwa menyebabkan kerugian pelaburan asing ke negara ini berjumlah RM12 bilion hingga RM15 bilion.

Pengecualian kabotaj diluluskan oleh bekas Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan, membolehkan kapal asing melakukan kerja-kerja pembaikan di bawah laut.

Namun, pada November tahun lalu, Wee membatalkan pengecualian ini untuk pembaikan kabel dasar laut dan menyangkal dakwaan ia akan mempengaruhi pelaburan.

Dalam pada itu, Wee berkata syarikat Apricot mempunyai rancangan baharu untuk membawa satu kabel ke Malaysia melalui Sabah dan Sarawak.

Beliau mempersoalkan adakah rancangan baru itu tidak menguntungkan Malaysia.

“Agenda MyDigital yang kita idamkan. Sebab itu Kementerian Pengangkutan terpanggil untuk membawa pelaburan masuk. Sebab itu jangan tuduh kita mengekang pelaburan asing,” katanya

Sementara itu, Lim berkata sangat hairan dengan jawapan Wee mengenai pembatalan pengecualian kabotaj negara tidak menyebabkan kerugian.

Beliau berkata maklumat mengenai kerugian itu datang daripada orang kerajaan.

“Rais Husin bukan orang DAP dan Pakatan Harapan (PH). Beliau (Rais) adalah orang kuat Bersatu dan orang kerajaan.

“Kalau orang kerajaan sendiri pun tidak ada percaya. Anda nak percaya siapa lagi. Kalau kerajaan sendiri tak boleh percaya kerajaan memang itu sudah pecah sama sekali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.