PRN Melaka: Idris dan Nor Azman sah sertai PH

PRN Melaka: Idris dan Nor Azman sah sertai PH

Pengerusi PH Anwar Ibrahim dijangka umumkan penyertaan mereka ke dalam PH esok.

Pengumuman penyertaan Idris Haron dan Nor Azman Hassan ke dalam PH akan dibuat Pengerusinya Anwar Ibrahim esok.
PETALING JAYA:
Bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang dan bekas ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan sah menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua bekas ADUN yang dipecat Umno itu dikatakan sah menyertai PKR dan Amanah.

Nor Azman Hassan berkata, beliau Idris masing-masing menyertai satu daripada parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan parti yang disertainya sama ada PKR atau Amanah manakala Idris gagal dihubungi.

Ada spekulasi malam ini menyatakan Idris akan menyertai PKR manakala Nor Azman, Amanah.

Nor Azman, 57, berkata Majlis Presiden PH sudah mengesahkan penerimaan beliau dan Idris, 55, ke dalam parti komponen PH dan pengumuman mengenai kerusi yang bakal ditandingi mereka akan dibuat Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, esok.

“Tunggu pengumuman Datuk Seri Anwar esok,” katanya ketika dihubungi malam ini, menurut laporan Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan Anwar pada sidang medianya malam ini yang antara lain mengenai PKR menerima keahlian seorang bekas ADUN yang dipecat Umno dan Amanah menerima keahlian yang seorang lagi.

Anwar dipetik berkata, penerimaan kedua-dua bekas ADUN terbabit disempurnakan selepas perbincangan panjang lebar dalam Majlis Presiden PH.

Katanya, empat bekas ADUN yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu bertujuan mengembalikan pentadbiran Melaka kepada PH.

Selain Idris dan Nor Azman, turut menarik sokongan itu ialah bekas ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH enggan menerima keahlian Norhizam ke dalam mana-mana parti komponen PH manakala nasib Noor Effandi tidak diketahui setakat ini.

Keempat-empat bekas ADUN terbabit dilaporkan sudah beberapa kali bertemu Anwar selepas mengumumkan penarikan sokongan kepada Sulaiman.

Mereka menerima pelbagai tawaran daripada pemimpin pelbagai parti, terutama parti komponen PH tetapi menunggu waktu paling sesuai untuk mengumumkan parti yang bakal disertai menjelang penamaan calon pada Isnin ini.

Pada pilihan raya umum ke-14, Nor Azman yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN), menewaskan Juhari Osman dari Amanah (bertanding dengan menggunakan logo PKR) dan Abdul Halim Maidin (PAS) dengan majoriti 772 undi.

Idris pula menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR) dengan majoriti 2,229 undi.

Anwar dilaporkan mengumumkan jumlah kerusi yang ditandingi PH pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka ialah, DAP (8), Amanah (9) dan PKR (11).

Menurut pembahagian kerusi itu, Pantai Kundor diberikan kepada Amanah untuk ditandingi manakala Sungai Udang diberikan kepada PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.