Media perlu beri ruang adil kepada calon PH, kata Adly

Media perlu beri ruang adil kepada calon PH, kata Adly

Pakatan Harapan akan melancarkan Pelan Tindakan Maju bersama PH pada 10 Nov yang disempurnakan oleh Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, media terutama media arus perdana boleh memainkan peranan penting dengan memberi ruang kepada calon untuk menyampaikan mesej masing-masing.
MELAKA:
Media perlu memberi ruang sewajarnya kepada semua 28 calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka memandangkan pilihan raya kali ini tidak membenarkan parti bertanding mengadakan sebarang kempen secara bersemuka, kata Pengerusi PH Melaka Adly Zahari.

“Media terutama media arus perdana boleh memainkan peranan penting dengan memberi ruang kepada calon sampaikan mesej masing-masing.

“Bila rakyat mahu buat keputusan, maklumat dan juga penerangan dan hala tuju setiap calon harus diberi ruang sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon PRN Melaka.

Mengulas mengenai suasana kempen kali ini, beliau mengakui larangan kempen rumah ke rumah merupakan cabaran terbesar gabungan itu untuk memperkenalkan barisan calon mereka.

“Larangan kempen rumah ke rumah, perhimpunan PRN yang selalunya jadi medium utama mungkin menjadi halangan utama untuk kita,” katanya sambil menegaskan PH akan menggunakan sesi penerangan secara mobil sebagai penghubung antara calon dan pengundi.

Mengulas mengenai fokus kempen kali ini, Adly berkata, gabungan PKR-DAP-Amanah itu akan menggunakan semua saluran media baharu selain pengedaran risalah untuk memperkenalkan barisan calon mereka yang berusia antara 21 hingga 40 tahun.

“Pada PRN Melaka, kita ketengahkan 18 calon bawah 30 tahun dengan calon termuda berusia 21 tahun manakala 10 calon lagi berusia bawah 40 tahun termasuk empat calon wanita,” katanya.

Dalam pada itu, Adly turut mengumumkan PH akan melancarkan Pelan Tindakan Maju bersama PH pada 10 Nov ini yang akan disempurnakan oleh Pengerusinya Anwar Ibrahim.

Dua ADUN Umno yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebelum ini, iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan, bertanding menggunakan tiket PH pada PRN kali ini.

Idris, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka menjadi calon PKR di DUN Asahan manakala Nor Azman sebagai calon Amanah di DUN Pantai Kundor.

Turut menjadi perhatian adalah calon termuda PH, iaitu Farzana Hayani Mohd Nasir, mahasiswa jurusan Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan calon PKR bagi kerusi DUN Sungai Rambai.

Secara keseluruhan, PH mempertaruhkan 11 calon daripada PKR, lapan calon DAP dan sembilan daripada Amanah.

Dalam kenyataan berasingan, Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH mendesak kerajaan memberi ruang sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap parti untuk berceramah setiap hari di media rasmi termasuk TV1, TV2 dan Bernama TV.

Selain memberi ruang sekurang-kurangnya 60 minit bagi setiap parti setiap hari untuk berceramah menggunakan Melaka FM dan Bernama Radio.

“Program forum perdana yang diwakili setiap parti perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali melalui saluran TV dan radio rasmi sepanjang tempoh kempen PRU DUN Melaka,” menurut kenyataan itu.

PH berkata, liputan adil dan saksama itu adalah bagi memastikan perlawanan politik PRN Melaka berlaku di atas padang yang sama rata.

“PH percaya dengan membenarkan semangat lebih terbuka media rasmi kepada semua pihak ini akan merancakkan lagi amalan demokrasi di Malaysia,” kata PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.