
Piet Ploeg, yang hilang abang, kakak ipar dan anak saudara dalam tragedi itu, meminta hakim terlibat secara khusus melihat peranan Russia dalam konflik di Ukraine.
“Kami mahu tahu apa yang berlaku, kenapa ia berlaku dan siapa bertanggungjawab. Daripada orang yang menekan butang melancarkan peluru berpandu sehinggalah pegawai tertinggi yang terlibat, mungkin juga di Kremlin,” katanya.
Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dibedil, menurut pendakwa oleh peluru berpandu darat ke udara Russia, yang berkemungkinan besar angkara militia pro-Moscow.
Ploeg mengkritik kekurangan kerjasama dari Russia dalam siasatan dan perbicaraan MH17 itu, selain “salah maklumat, teori alternatif, penafian dan pembohongan selama bertahun-tahun.”
Russia menafikan sebarang pembabitan dalam nahas itu. Suspek yang menghadapi tuduhan bunuh iaitu tiga rakyat Russia dan seorang warga Ukraine, masih bebas tetapi seorang daripadanya telah menghantar peguam untuk mewakilinya dalam prosiding berkenaan.
Menurut media Belanda bulan lalu, peguam mewakili mangsa keluarga MH17 telah ditawarkan perlindungan selepas menerima ancaman.
Perbicaraan dijadualkan bersambung pada Disember, dengan pendakwaan menutup kes manakala keputusan dijangka diperoleh tahun depan.