Menang dulu baru bincang KM, kata Wan Saiful

Menang dulu baru bincang KM, kata Wan Saiful

Beri tumpuan kepada menang kerusi DUN untuk bentuk kerajaan stabil.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan (tengah) bersama-sama pemimpin parti komponen Perikatan Nasional pada sidang media hari ini.
AYER KEROH:
Perikatan Nasional (PN) tidak berminat untuk berbincang mengenai jawatan Ketua Menteri Melaka sebaliknya mahu memberi tumpuan ke arah memenangi pilihan raya negeri (PRN) terlebih dahulu.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, fokus utama PN ialah memenangi seberapa banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dahulu sebelum memutuskan siapakah calon Ketua Menterinya.

“Masa belum sesuai untuk bercakap mengenai perkara ini. Kita kena tumpu untuk menang dan bentuk kerajaan stabil,” katanya.

Katanya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti memandangkan perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan sebelum ini.

“Kita ada idea siapa yang akan dinamakan sebagai ketua menteri, namun saya tidak mahu membuat spekulasi dan biarlah tunggu selepas PRN baru kita tahu,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Kota Fesyen MITC, hari ini.

Hadir sama, tiga calon PN iaitu Mohd Yadzil Yaakub (DUN Bemban) yang mewakili Bersatu, DUN Duyong Kamarudin Sidek (PAS) dan DUN Ayer Keroh Gang Peng Lam (Gerakan).

Pada masa sama, Wan Saiful memaklumkan beliau tidak mahu mengulas mengenai soal nama ketua menteri kerana dikhuatiri bakal menjadi isu sensasi.

Sebelum ini, BN mengekalkan Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri manakala PH menamakan Adly Zahari.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada PN bersedia bekerjasama dengan BN atau PH jika masing-masing gagal membentuk kerajaan Wan Saiful berkata, perkara itu belum dimuktamad lagi.

Beliau berkata, pihaknya perlu melihat keputusan PRN terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada bekerjasama atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.