
Ketua Menteri Sementera, Sulaiman Md Ali berkata, ini berikutan laluan dari Kuala Lumpur hingga ke Singapura amat penting bukan sahaja dalam mengurangkan kesesakan, bahkan membawa limpahan ekonomi kepada negeri itu.
“Sebab itu saya kata dalam manifesto kita, jika BN diberi mandat baharu, saya minta penyambungan semula projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura diberi keutamaan.
“Jika BN diberi mandat baharu, saya akan menolak dan tidak memberi kelulusan kepada projek HSR jika ia hanya berakhir di Johor, bukannya Singapura,” katanya lapor portal Melaka Hari Ini.
Sebelum ini, Malaysia dan Singapura memutuskan pembatalan projek HSR selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir hujung Disember tahun lalu.
Laluan kereta api sejauh 350km yang pada mulanya dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak pada 2013 itu akan bermula dari stesen terminal pusat bandar Kuala Lumpur ke terminal di Jurong East, Singapura, selain turut melibatkan hentian di Melaka.
Dalam pada itu Sulaiman berkata, beliau mempunyai perancangan tersendiri sekiranya HSR Kuala Lumpur ke Singapura diteruskan.
Katanya, antaranya mewujudkan jajaran baharu dari stesen HSR Melaka ke Melaka Sentral, selain turut bercadang memperluaskan laluan itu sehingga ke Zon Ekonomi Pesisir Pantai (M-WEZ).
“Jadi sepanjang jajaran ini nanti akan berlaku pembangunan ekonomi yang menghubungkan satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.