Bas bawa pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands prosedur biasa, kata Pengarah Kesihatan Pahang

Bas bawa pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands prosedur biasa, kata Pengarah Kesihatan Pahang

Dr Nor Azimi Yunus berkata, video sebuah bas yang didakwa penuh dengan pesakit Covid-19 dari Cameron Highland hanya membawa sembilan pesakit Covid-19.

Video yang tular di media sosial mengenai bas yang membawa pesakit Covid di Cameron Highlands. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menegaskan, video tular mengenai sebuah bas yang didakwa penuh dengan pesakit Covid-19 dari Cameron Highland hanya melibatkan prosedur biasa pemindahan dari pusat peranginan itu ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sekitar negeri berkenaan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Nor Azimi Yunus berkata peristiwa itu berlaku pada 9 Nov yang mana hanya sembilan pesakit positif Covid-19 dibawa menggunakan bas pada hari berkenaan.

Katanya, sembilan pesakit itu ditempatkan di lokasi berasingan iaitu dua kes ke PKRC Maran; dua kes ke PKRC UMP dan lima kes ke PKRC ILKKM.

“Kesemua sembilan pesakit ini perlu dimasukkan ke PKRC kerana situasi rumah yang kurang sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri serta pesakit ini terdiri daripada golongan kanak-kanak dan pesakit komorbid,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, tular satu video memaparkan kereta polis mengiringi sebuah bas dipercayai membawa sejumlah pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands.

Klip video berdurasi 15 saat itu dirakam pengunjung yang terkandas ketika dalam perjalanan ke pusat pelancongan berkenaan.

Mengulas lanjut, Azimi berkata, setakat ini Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands tidak menerima sebarang notifikasi kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong untuk tujuan pengesanan kontak.

“Notifikasi untuk tindakan pengesanan kontak yang diterima setakat ini adalah melibatkan kontak keluarga dan bukannya pelancong,” katanya.

Setakat hari ini, kes aktif di daerah Cameron Highlands adalah sebanyak 77 kes melibatkan 17 kes import dan selebihnya adalah kes tempatan.

Status Covid-19 di daerah Cameron Highlands adalah terkawal dengan dua mukim berstatus jingga (Tanah Rata dan Ulu Telom) dan satu mukim berstatus kuning (Ringlet).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.