
Pengerusi biro itu, Ramkarpal Singh, berkata tindakan undang-undang terbabit dilakukan melalui Messrs Karpal Singh & Co, di Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini, mewakili Liew Han Eng dan tiga lagi.
Dalam kenyataan hari ini, Ramkarpal berkata, afidavit dikemukakan plaintif antaranya membabitkan keputusan kerajaan Kedah itu ‘ultra vires’ dengan Perlembagaan Persekutuan, kerana kuasa mengeluarkan lesen perjudian terbabit tertakluk dalam bidang kuasa Parlimen.
Plaintif mendakwa keputusan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, tidak berasas dan boleh dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi menerusi semakan kehakiman.
Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata semua surat berkaitan akan dihantar kepada pihak yang berkenaan dan berharap pendengaran kes dapat dilaksanakan secepat mungkin di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Terdahulu, Sanusi menjangkakan tindakan undang-undang akan diambil DAP kerana yakin parti itu akan menyebelahi kedai premis judi nombor ekor.
Baru-baru ini, ahli MUDA, Lim Wei Jiet, berkata langkah melarang operasi kedai judi adalah tidak berperlembagaan, kerana pertaruhan termasuk loteri berada dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.
Hari ini, Sanusi sekali lagi mempertahankan keputusannya enggan memperbaharui lesen kedai judi nombor ekor dengan memberi alasan tidak mahu lagi melihat mana-mana pihak terkesan dengan “penyakit tahi judi”.
Katanya, Kelantan dan Terengganu juga melakukan perkara sama dilaksanakan Kedah, namun mereka tidak berdepan sebarang cabaran di mahkamah.