Pendedahan RM65 juta dana 1MDB dipegang suami Zeti ‘mengejutkan’, kata Puad

Pendedahan RM65 juta dana 1MDB dipegang suami Zeti ‘mengejutkan’, kata Puad

Tahun lalu, FMT melaporkan suami bekas Gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz dan dua anaknya menerima dana berkait 1MDB.

SPRM mengesahkan syarikat milik Tawfiq Ayman (kiri), suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), menerima dana berkaitan 1MDB bernilai sekurang-kurangnya RM65 juta.
PETALING JAYA:
Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) disifatkan “mengejutkan”, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi.

Terdahulu hari ini, SPRM berkata sehingga kini ia berjaya mendapatkan semula aset dan dana berkaitan 1MDB, membabitkan nilai RM20.5 bilion.

Ia termasuk pemulangan semula aset bernilai USD15.4 juta (RM64.4 juta) melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, dikatakan milik Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

Tawfiq adalah suami kepada bekas Gabenor BNM Zeti Akthar Aziz, yang menjadi saksi pendakwaan kes 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Tawfiq sebelum ini disoal siasat polis berhubung kaitannya dengan dana 1MDB, namun tiada perkembangan baharu berkenaan siasatan itu dilaporkan.

Puad berkata kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu 1MDB, demi memastikan individu bertanggungjawab diambil tindakan dan tiada pihak dijadikan “kambing hitam”.

“Perkara ini perlu disiasat secara terperinci dan telus,” katanya.

Ketika muncul laporan mengaitkan ahli keluarga Zeti dengan dana 1MDB, timbul persoalan sama ada beliau tahu mengenai pemindahan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.

Suami Zeti dan dua anak lelakinya mengakui tahu mengenai wang itu dalam akuan berkanun (SD) yang ditandatangani pada Mac tahun lalu. Wang itu berada dalam akaun Cutting Edge Industries di Singapura dan ketiga-tiga mereka turut mengakui menjadi pemilik benefisial akaun terbabit.

SD berkenaan yang dilihat FMT, disahkan tulen oleh peguam.

Pendedahan berkenaan SD disiarkan portal MalaysiaToday milik blogger Raja Petra Kamaruddin, yang mendakwa suami Zeti dan anak-anaknya menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho, atau Jho Low, yang menjadi dalang skandal 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.