
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, Malaysia menjadi satu-satunya negara di rantau ini jatuh secara rasmi ke status kemelesetan ekonomi teknikal.
Beliau berkata, kemelesetan teknikal bermaksud ekonomi mencatatkan penguncupan dua suku tahunan berturut-turut.
“Semua negara-negara jiran sudah selesai lapor kadar pertumbuhan ekonomi bagi suku 3 tahun 2021.
“Malaysia satu-satunya negara sahaja yang jatuh secara rasmi ke status kemelesetan ekonomi teknikal pada ketika ini,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Malaysia juga paling teruk dari kadar pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi suku ketiga 2021 di antara semua negara jiran.
Katanya, negara jiran Indonesia mencatatkan pertumbuhan 3.5%, Singapura (6.5%), Filipina (7.1%), Thailand (-0.3%) manakala Malaysia paling teruk pertumbuhan ada kadar (-4.5%).
“Ini berikutan negara kita satu-satunya dalam dunia yang umumkan darurat untuk gantung Parlimen dengan alasan nak melawan Covid tetapi sebenarnya sebab diorang (mereka) mahu kekalkan kuasa.
“Biarpun darurat dibuat, RM600 bilion duit negara dibelanjakan oleh kerajaan dan lockdown separuh masak antara paling lama dalam dunia yang banyak menjahanamkan ekonomi rakyat dan perniagaan kecil, negara kita masih mampu mencatat kadar kes Covid dan kadar kematian Covid antara paling tinggi dalam rantau dan dunia.
“Harga barang-barang juga menaik tinggi akibat lockdown separuh masak tersebut – sehingga Guan Eng pun faham,” katanya sinis sambil melampirkan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu mengenai pandangannya terhadap ‘lockdown’ separuh masak yang mengakibatkan peningkatan harga makanan.