Pegawai penjara pukul tahanan untuk lepas tekanan kerja, dakwa Pesuruhjaya SUHAKAM

Pegawai penjara pukul tahanan untuk lepas tekanan kerja, dakwa Pesuruhjaya SUHAKAM

Jerald Joseph berkata, kesesakan membawa kesan buruk kepada kakitangan penjara.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph berkata, orang ramai kurang berminat dalam pembaharuan penjara.
PETALING JAYA:
Seorang pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berkata, penyeksaan masih berlaku di penjara, walaupun Jabatan Penjara mengambil pendekatan “toleransi sifar” terhadap perbuatan itu seperti termaktub di bawah Akta Penjara 1995.

Jerald Joseph berkata, dalam lawatan ke Sabah baru-baru ini, pesuruhjaya SUHAKAM menemui seorang bekas kakitangan Penjara Tawau yang mengakui beliau dan rakan sekerjanya memukul tahanan.

“Beliau memberitahu mereka berbuat demikian untuk melepaskan tekanan kerja akibat kesesakan di penjara,” katanya pada Persidangan Serantau Pembaharuan Penjara selain menambah bahawa ia tidak patut dijadikan alasan untuk mendera tahanan.

Joseph berkata, masalah kesesakan penjara juga menyebabkan kekurangan bekalan air dalam penjara.

“Infrastruktur bekalan air di penjara tidak boleh menampung peningkatan jumlah tahanan. Di Penjara Kajang contohnya, kapasiti tahanan meningkat daripada 2,500 kepada 5,000 orang.”

Beliau yang menggesa supaya pembaharuan penjara disegerakan, kesal dengan orang ramai dan wakil rakyat yang kurang berminat dalam pembaharuan penjara.

“Sistem keadilan rehabilitasi belum mencetuskan perdebatan di negara ini.”

Joseph menggesa pendekatan “seluruh masyarakat” dengan agensi kerajaan, NGO, sektor swasta dan media memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran awam terhadap kepentingan memberi peluang kedua kepada tahanan.

Persidangan itu adalah anjuran bersama SUHAKAM dan Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.