
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, ini kerana sesuatu pendakwaan dikenakan terhadap suspek di mahkamah adalah bergantung kepada hasil siasatan kes.
“Bagi mengendalikan pendakwaan terhadap pihak-pihak yang mencemarkan sungai dan udara, di bawah Seksyen 44 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 125), izin pendakwaan mestilah diperoleh terlebih dahulu daripada pendakwa raya.
“Arahan pertuduhan hanya akan dikeluarkan setelah pendakwa raya berpuas hati bahawa segala keterangan dalam kertas siasatan mencukupi bagi membuktikan elemen pertuduhan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.
Katanya, Jabatan Peguam Negara telah memberikan kuasa kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar untuk menjalankan tugas pendakwaan melalui pelantikan di bawah Seksyen 377 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) melibatkan kes pencemaran sungai dan udara.
Mas Ermieyati dalam pada itu berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang bawah Jabatan Perdana Menteri akan memastikan tiada campur tangan mengganggu mana-mana pendakwaan atau siasatan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memberikan kuasa pendakwaan kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar.