Angkara ‘ejen insurans’, guru wanita rugi hampir RM200,000

Angkara ‘ejen insurans’, guru wanita rugi hampir RM200,000

Suspek menghubungi mangsa dan mengatakan wanita itu membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali dengan jumlah RM76,800 pada 10 Okt.

Polis menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan panggilan mencurigakan serta membuat semakan terhadap nombor telefon dan akaun bank sebelum membuat sebarang urusan. (Gambar AFP)
MELAKA:
Seorang guru wanita menanggung kerugian kira-kira RM199,111 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, E Sundra Rajan, berkata mangsa berumur 50 tahun menerima panggilan telefon pada 10 Okt lalu, daripada suspek yang mendakwa kononnya ejen insurans, dengan mengatakan mangsa telah membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali dengan jumlah RM76,800.

“Mangsa telah menafikan perkara tersebut, namun panggilan itu disambungkan ke Balai Polis Pudu dan bercakap dengan SM Azman yang mengatakan pengadu terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berkait seorang suspek lelaki bernilai RM2.8 juta.

“Panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada Insp Mastura yang memberitahu dia boleh membantu mangsa menyelesaikan kes itu, sebelum mangsa menerima satu lagi panggilan daripada Puan Yong dan Tuan Chong yang menyamar pegawai bertugas dengan memberitahu mangsa akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, selain memintanya membayar wang jaminan sebanyak RM568,000,” katanya dalam kenyataan.

Sundra berkata, disebabkan mangsa tidak mempunyai wang untuk membayar wang jaminan itu, mangsa membuat pinjaman dengan dua bank berlainan bernilai RM380,888.

Katanya, dua hari kemudian iaitu pada 12 Nov, mangsa menerima panggilan daripada Puan Yong dan mengarahkan mangsa menukar nombor telefon pada kad bank milik mangsa kepada nombor telefon yang diberikan oleh suspek, selain mengarahkan semua wang simpanan mangsa yang ada dalam satu lagi akaun bank dipindahkan ke dalam satu akaun.

“Tanpa rasa curiga mangsa telah mengikut semua arahan suspek dan selepas itu wanita itu telah dihubungi semula oleh Puan Yong yang memintanya membuat pinjaman dengan pihak pinjaman kredit namun tidak berbuat demikian kerana berasa curiga.

“Mangsa kemudian membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah wang RM199,111 telah dikeluarkan. Berasa diri diperdaya, mangsa membuat laporan polis semalam di Balai Polis Tiang Dua,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan panggilan mencurigakan serta membuat semakan terhadap nombor telefon dan akaun bank sebelum membuat sebarang urusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.