
Dalam sidang media selepas keputusan rayuannya diumumkan, Najib berkata, sepanjang berada dalam kerajaan, beliau memberi penekanan kepada usaha mempromosikan kepentingan negara.
“Sepanjang penggal saya, jumlah aset negara meningkat daripada RM800 juta kepada RM2 trilion. Oleh itu, saya mencipta banyak kekayaan (untuk negara),” katanya sambil menambah negara mengalami kerugian RM31.5 bilion dalam skandal pertukaran mata wang asing (Forex) antara 1991 dan 1994.
Terdahulu, hakim Abdul Karim Abdul Jalil ketika menyampaikan keputusan mahkamah berkata, Najib tidak mengambil sebarang langkah untuk bertanya apa yang berlaku kepada pinjaman RM4 bilion SRC dan sama ada wang itu digunakan dengan betul.
Katanya, Najib terbabit secara aktif dalam memastikan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP disalurkan kepada SRC, tetapi kemudian “bersikap tidak ambil kisah”.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak tahu di mana wang itu berada, bahkan mengarahkan Menteri Kewangan II ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah tidak mengambil tahu hal berkaitan SRC.
“Tindakan perayu (Najib) hanya menunjukkan satu perkara, iaitu sebaik sahaja dana diperolehi SRC, di mana perayu ada kawalan penuh, dia bebas menggunakannya untuk kepentingan peribadinya.
“Ini ditunjukkan menerusi aliran RM42 juta daripada SRC ke akaun peribadinya. Ini bukan sesuatu yang boleh dikatakan dilakukan demi kepentingan negara. Tiada isu kepentingan negara di sini, ia hanya memalukan negara.”
Dua lagi hakim yang bersidang bersama Karim adalah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 yang menyabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC dimasukkan ke akaunnya.
Ia turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Tetapi, Najib dibebaskan dengan jaminan, sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu wartawan, ulasan “memalukan negara” itu tidak perlu.
“Kami mempercepatkan rayuan ini ke Mahkamah Persekutuan. Dengan mengandaikan Mahkamah Persekutuan bersama kami, ulasan ini boleh dipadamkan.”
Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sementara menunggu rayuannya, Najib berkata, belia tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan.
“Bila tiba masanya, baru kita fikirkan,” katanya.
Pengurusan dana awam yang teruk
Karim berkata, panel itu bersetuju dengan hakim perbicaraan yang betul sepenuhnya dalam mendapati pendakwaan telah membuktikan tuduhan penyalahgunaan kuasa terhadap Najib di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 melampaui keraguan munasabah.
Katanya, agak tidak masuk akal untuk kerajaan menjamin pinjaman kepada SRC – sebuah korporat berkaitan kerajaan – yang ia tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman atau faedah.
Beliau berkata, ia bukan kepentingan negara untuk mempunyai sebuah syarikat tak mampu bayar yang stabil, dengan kerajaan didedahkan sepenuhnya kepada pinjaman diambil syarikat berkenaan.
“Ini adalah pengurusan kewangan dana awam yang teruk.”