
Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili Cekap Air berkata mahkamah turut menolak permohonan Jovian untuk menggantung perintah kebankrapan berkenaan.
“Mahkamah menolak rayuan bagi mengetepikan petisyen pemiutang dan untuk menggantung perintah kebankrapan dengan kos berjumlah RM10,000,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Jamhirah Ali.
Pada 3 Julai tahun lepas, Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah kebankrapan selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 Nov 2024.
Sebelum itu, pada 21 Mei 2024, Cekap Air memfailkan notis kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diberikan mahkamah pada 2 April tahun sama.
Berdasarkan petisyen kebankrapan pemiutang, syarikat berkenaan memohon satu perintah kebankrapan terhadap Jovian selaku penghutang kerana gagal membayar RM5,284,340.66 termasuk faedah seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.
Pada 2 April 2024, Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin mengarahkan Jovian membayar pinjaman persahabatan terbabit selepas membenarkan permohonan Cekap Air selaku plaintif untuk memasukkan penghakiman terus terhadap pereka fesyen itu.
Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.
Jovian disaman oleh Cekap Air pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan dan pengarah syarikat itu, Yong Zhen Wei ialah kenalan kepadanya.
Cekap Air mendakwa syarikat itu meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan Jovian pada 25 Feb 2022 dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili pereka fesyen itu dan ia perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Plaintif mendakwa pinjaman itu diberikan dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan ialah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman terbabit dan hingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian. Jovian memfailkan pernyataan pembelaan pada 20 Jun 2023.