Simpan bahagian hidupan liar: 3 didenda RM128.9 juta, penjara 12 tahun

Simpan bahagian hidupan liar: 3 didenda RM128.9 juta, penjara 12 tahun

Tiga warga Vietnam didenda dan dipenjara atas 15 pertuduhan menyimpan hampir 1,000 bahagian hidupan liar dilindungi tanpa permit.

Tiga warga Vietnam didenda RM128.9 juta
Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman ke atas tiga warga Vietnam yang didakwa mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga warga Vietnam didenda RM128.9 juta dan dihukum penjara 12 tahun atas 15 pertuduhan menyimpan hampir 1,000 bahagian hidupan liar dilindungi tanpa permit, tiga tahun lalu.

Mahkamah Sesyen Kuantan turut memutuskan Bui Thi Ngan, 55, adiknya Bui Van Noi, 48, dan rakan mereka Bui Van Anh, 37, berdepan hukuman penjara tambahan lebih lapan tahun sekiranya gagal menjelaskan denda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagiannya serta penjara maksimum 15 tahun, dan Seksyen 60(1)(b) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Menurut pertuduhan, mereka didakwa menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi termasuk 67 bahagian babi hutan, 59 duri landak raya, empat bahagian kijang, tiga gigi gajah Asia, tiga bahagian daging babi bodoh dan tiga bahagian serigala.

Mereka juga didapati menyimpan 56 bahagian harimau belang, 493 bahagian beruang matahari, 276 bahagian harimau kumbang, 20 bahagian harimau dahan, satu kepala kambing gurun, lapan bahagian kucing tulap dan satu bahagian ular sawa.

Kesalahan itu dilakukan secara bersama di sebuah premis kediaman di Panching, Kuantan, Pahang pada 15 Nov 2023.

Hakim Maimoonah Aid memerintahkan hukuman penjara antara 15 bulan hingga 12 tahun berjalan serentak, bermula dari tarikh tangkapan pada Nov 2023.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Amanina Mohamad Anuar; manakala tertuduh diwakili Zaharman Zainal Abidin selaku peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.