
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani, berkata walaupun Malaysia sudah menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS tahun lalu, Putrajaya masih belum meratifikasi perjanjian itu.
“Kerajaan sedang menilai dengan teliti perkembangan undang-undang dan dasar terkini di AS,” katanya dalam kenyataan.
Namun, Johari menekankan bahawa Washington masih mempunyai mekanisme undang-undang lain yang membolehkannya mengenakan tarif secara sepihak, selain daripada langkah-langkah perdagangan lain.
Beliau berkata, Miti juga sedang meneliti pengumuman Trump mengenai tarif 10% ke atas semua barangan import susulan keputusan Mahkamah Agung AS.
“Kita sedang mengkaji skop dan implikasinya. Pada peringkat ini, kita sedang menunggu kejelasan lanjut mengenai bagaimana langkah ini akan dilaksanakan dan sama ada pelarasan tambahan akan menyusul.”
Johari berkata, AS kekal antara ekonomi terbesar di peringkat global dan rakan dagang utama bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan RM367 bilion tahun lalu, termasuk RM233 bilion dalam bentuk eksport ke AS.
“Pendirian Malaysia adalah jelas dan konsisten. Kita akan terus komited kepada perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan, demi mengekalkan persekitaran perniagaan yang stabil dan boleh diramal, serta bagi melindungi kepentingan pengeksport Malaysia, pelabur antarabangsa, perniagaan yang beroperasi di Malaysia, dan pekerja dalam seluruh ekonomi kita.”
“Pada masa sama, Malaysia akan terus mempelbagaikan hubungan dagangnya dan memperkukuh kerjasama ekonomi serantau serta pelbagai hala bagi memastikan daya tahan dalam persekitaran perdagangan global yang terus berkembang.”
“Kita akan bertindak demi kepentingan terbaik Malaysia, sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS,” kata Johari.
Semalam, dalam keputusan enam-tiga, Mahkamah Agung AS memutuskan Trump telah melampaui kuasanya dalam mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa, atau IEEPA.
Susulan itu, presiden AS itu kemudiannya menyatakan beliau akan mengenakan tarif seragam 10% ke atas semua barangan import di bawah kuasa berasingan.
Malaysia dan AS menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas semasa kunjungan Trump ke Kuala Lumpur ketika Sidang Kemuncak Asean tahun lalu. Perjanjian berkenaan mengekalkan tarif 19% ke atas barangan Malaysia, namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.
Miti kini dalam proses menjalankan semakan dan analisis kos-manfaat terhadap perjanjian tersebut bagi melindungi kepentingan ekonomi dan kedaulatan Malaysia.