PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib Razak membabitkan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan itu.
Karim, bersama-sama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib untuk mengetepikan kesemua tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC.
Karim berkata tiada sebab untuk bercanggah dengan hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Beliau berkata dakwaan bahawa wang itu adalah derma dari Arab tidak boleh dipertahankan.
Tahun lepas, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan.
Najib dituduh menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Perdana Menteri dengan memberi jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM4 bilion dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC International.
Beliau juga berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta dana milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang dikenakan pertuduhan di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara.