Isu MN: Waspada anasir ‘fasiq’ mahu gagalkan perpaduan ummah, kata Hadi

Isu MN: Waspada anasir ‘fasiq’ mahu gagalkan perpaduan ummah, kata Hadi

Presiden PAS itu tidak menyatakan siapa dimaksudkan sebagai fasiq namun sekali lagi melahirkan rasa kecewa kerana Bersatu belum diterima masuk dalam MN atas bantahan Umno.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan golongan yang menghalang perpaduan umat sebagai ‘pengacau daun’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dalam komen terbaru mengenai isu Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi Awang mendakwa wujud anasir “fasiq” yang mencetuskan provokasi untuk menggagalkan perpaduan umat.

Presiden PAS itu tidak menyatakan siapakah dimaksudkannya sebagai fasiq, namun sekali lagi melahirkan rasa kecewa kerana Bersatu belum diterima masuk dalam MN atas bantahan Umno.

“Penyertaan Bersatu ke dalam MN adalah untuk melayari perubahan dalam negara secara bersama, tetapi malangnya ia tidak ditepati dan tidak ditunaikan,” katanya.

“Sedangkan Allah SWT melabelkan nama fasiq kepada seseorang Muslim yang terlibat bersama dan berperanan dalam media untuk melakukan provokasi.

“Golongan tersebut dikenakan hukuman tidak sah memegang apa-apa jawatan yang penting dan tidak sah menjadi saksi dalam semua urusan yang penting,” kata Hadi.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilihat lantang menegur Hadi kerana menuduh parti itu tidak mematuhi piagam MN kerana menolak penyertaan Bersatu, iaitu parti serpihan Umno.

“Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut nas yang sahih, bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.

“Mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya Umno tidak mematuhi piagam merupakan alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik,” kata Zahid.

Hari ini Hadi menyifatkan golongan yang menghalang perpaduan umat sebagai “pengacau daun”.

“Golongan yang membuat kacau daun itu tidaklah besar jumlahnya, tetapi suaranya kuat sehingga boleh memekakkan telinga dan mengaburkan mata sebahagian daripada umat yang mahukan perpaduan dilaksanakan dengan berjaya.

“Mereka mendapat dukungan musuh daripada dalam dan luar yang sentiasa menolak kebaikan dan menarik keburukan terhadap kita semua,” katanya.

Hadi meminta orang Islam “kenalilah siapakah perosak perpaduan umat dan janganlah sekali-kali terpengaruh dengannya”.

“Seterusnya, singkirkan makhluk perosak perpaduan umat yang ada dalam masyarakat kita kerana perkara itu sangat penting,” katanya.

Penyertaan Bersatu dalam MN menjadi duri dalam hubungan Umno-PAS sejak sekian lama, sehingga dua parti itu menentang sesama sendiri pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka bulan lalu.

Umno bertegas menolak desakan PAS mahukan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu menyertai MN namun perwakilan Perhimpunan Agung Umno yang lalu mahukan parti itu menamatkan kerjasamanya dengan Bersatu.

Bagaimanapun, dalam mesejnya hari ini, Hadi terus menegaskan keperluan Bersatu menyertai MN.

“Melayu dan Islam itu bukan sahaja melibatkan Umno dan PAS, tanpa Bersatu. Perpaduan tersebut tidak lengkap dan tidak akan mencapai tujuan tanpa kebersamaan tiga parti Melayu terbesar termasuklah Bersatu bagi mencapai hikmahnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.