BN boleh jadi kerajaan dominan semula jika ketepikan masalah dalam parti, kata Zahid

BN boleh jadi kerajaan dominan semula jika ketepikan masalah dalam parti, kata Zahid

Sekiranya masalah dalaman khususnya isu-isu remeh yang tercetus antara parti komponen dan parti mesra BN dapat diketepikan, parti itu diyakini mampu memperoleh kemenangan besar pada PRU15.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat Malaysia inginkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dari segi ekonomi dan berdasarkan rekod prestasi selama lebih tujuh dekad mentadbir negara dan hanya BN dilihat mampu merealisasikan hasrat berkenaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mahu supaya parti komponen Barisan Nasional (BN) mengetepikan masalah dalaman parti agar boleh menjadi kerajaan dominan di negara ini pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yakin sekiranya masalah dalaman khususnya isu-isu remeh yang tercetus antara parti komponen dan parti mesra BN dapat diketepikan, BN diyakini mampu memperoleh kemenangan besar pada PRU15 kelak.

“Kita ketepikan masalah inter-party (antara pihak dalam BN), kita ketepikan perbezaan politik dan kita bawa rakan-rakan lain (parti mesra BN) agar menang PRU15,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia inginkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dari segi ekonomi dan berdasarkan rekod prestasi selama lebih tujuh dekad mentadbir negara ini, hanya BN dilihat mampu merealisasikan hasrat berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberi jaminan kepada MIC bahawa kerusi tradisi parti itu tidak akan ditandingi oleh mana-mana parti mesra BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga meminta MIC supaya tidak bimbang dengan kehadiran parti mesra BN yang baharu pada PRU15, malah beliau akan memastikan parti itu membantu MIC untuk menang bersama.

Dalam pada itu, Presiden UMNO itu turut mengingatkan semua parti komponen BN supaya tidak sombong, angkuh dan riak dengan kemenangan BN pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

“Kita lihat pada PRK (pilihan raya kecil) Sungai Besar, kita menang majoriti besar tetapi PRU14 kita kalah di kawasan itu. Kemenangan yang berlaku tidak semestinya menjadi template atau acuan,” katanya.

Zahid berkata, jika kemenangan PRN Melaka dijadikan panduan, ia boleh disifatkan bahawa rakyat Malaysia ‘amat merindukan’ BN untuk kembali menerajui semula kerajaan pada PRU15.

Turut hadir pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan MIC itu ialah Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein dan bekas Presiden MIC S Samy Vellu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.