Tubuh RCI secara terpilih, Puad gelar Kit Siang ‘ahli politik paling hipokrit’

Tubuh RCI secara terpilih, Puad gelar Kit Siang ‘ahli politik paling hipokrit’

Puad Zarkashi berkata veteran DAP itu langsung tidak mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat Zeti Akhtar Aziz dan Nor Mohamed Yakcop.

Lim Kit Siang juga mendiamkan diri dan tidak mendesak penubuhan RCI terhadap pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas, menurut Puad Zarkashi.
KUCHING:
Seorang pemimpin Umno menyelar tindakan Lim Kit Siang dengan mendakwa veteran DAP itu “memilih” dalam mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menggelar Lim sebagai “ahli politik paling hipokrit”, Puad Zarkashi berkata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu langsung tidak mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan bekas Menteri Nor Mohamed Yakcop yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata Lim juga mendiamkan diri dan tidak mendesak penubuhan RCI terhadap pendedahan campur tangan politik dalam pelantikan Hakim dan Peguam Negara yang didedahkan dalam buku tulisan bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

Semalam, Lim menggesa penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan rancangan untuk menangkap Najib Razak berhubung skandal 1MDB yang mana telah digagalkan dengan pemecatan dua penjawat awam kanan.

Penasihat DAP itu berkata, beliau juga diberitahu mengenai penangkapan Najib yang beliau panggil “Week of Long Knives Operation” pada Julai 2015

Terdahulu, FMT melaporkan plot untuk menahan Najib ketika mesyuarat Kabinet berlangsung telah digagalkan sehari sebelum ia sepatutnya dijalankan.

Romen Bose yang bekerja sebagai penasihat komunikasi politik Najib, mendakwa dalam buku yang diterbitkan akan datang mengenai rampasan kuasa yang dirancang oleh “Tiga Tan Sri” akan berlaku pada 29 Julai 2015.

Plot yang didakwa itu termasuk gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu Zeti Akhtar Aziz, Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed.

Individu lain yang didakwa terlibat dalam plot itu termasuk Muhyiddin Yassin, timbalan Najib pada masa itu, dan Shafie Apdal, yang berkhidmat sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Jelas, Lim Kit Siang ahli politik paling hipokrit. Dia sering mendesak ditubuhkan RCI. Tetapi dia mendesak penubuhan RCI secara terpilih,” Puad memberitahu FMT.

“Sebab itu biarlah mahkamah rakyat yang putuskan dalam PRU ke 15 nanti seperti mana yang berlaku di PRN Melaka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.