
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan menyebut, pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya, manakala kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi harus ditemani ibu bapa atau penjaga lengkap divaksin.
Pengembara yang layak tertakluk kepada ujian saringan Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.
“Pada masa ini, VTL-Land masih terhad kepada perkhidmatan bas sahaja. Perkhidmatan bas VTL-Land akan menawarkan tiket untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan tertakluk kepada status kesihatan awam semasa,” menurut kenyataan.
Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan di Malaysia akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) manakala di Singapura pula Terminal Queen Street (QST) dan Woodlands Temporary Bus Interchange (WTBI).
MITI turut mengingatkan bahawa pengembara sama ada dari Malaysia atau Singapura dikehendaki mendaftar perjalanan mereka di laman yang disediakan sebelum membeli tiket.
“Pengembara yang ingin masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land dikehendaki mendaftar di https://mysafetravel.gov.my manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, dikehendaki mendaftar di https://go.gov.sg/vtl-portal.”
Butiran mengenai keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg.