4 proses ketat bagi kemasukan pekerja asing, kata menteri

4 proses ketat bagi kemasukan pekerja asing, kata menteri

Antaranya, pekerja asing mesti lengkap vaksinasi di negara asal dan dibawa masuk melalui laluan khas apabila tiba di KLIA.

M Saravanan berkata, pekerja asing yang dibawa masuk akan menjalani kuarantin 14 hari dan ujian saringan RT-PCR pada hari pertama, ketiga, kelima dan ketujuh sebelum dipindahkan ke tempat kerja.
PUTRAJAYA:
Malaysia menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk kemasukan pekerja asing membabitkan empat proses bagi mengekang risiko penularan Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Beliau berkata, empat peringkat itu adalah pekerja asing mesti lengkap vaksinasi di negara asal dan dibawa masuk melalui laluan khas apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pekerja asing terbabit kemudiannya akan dikuarantin di tempat khas yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dipindahkan ke tempat kerja dan disediakan tempat penginapan kondusif oleh majikan sebagai prasyarat mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Saravanan berkata, pekerja asing yang dibawa masuk akan menjalani kuarantin 14 hari dan ujian saringan RT-PCR pada hari pertama, ketiga, kelima dan ketujuh sebelum dipindahkan ke tempat kerja.

“Empat langkah ini bagi memastikan kemasukan pekerja asing ke negara ini adalah selamat,” katanya selepas majlis graduasi “Certified Disability Management Professional (CDMP)” di sini membabitkan 105 graduan dalam bidang pengurusan hilang upaya.

Bagi kemasukan pembantu rumah asing pula, Saravanan berkata, SOP itu sedang dikaji Kementerian Sumber Manusia.

Pada 8 Dis lepas, Saravanan dilaporkan berkata, Malaysia dijangka menerima kemasukan antara 5,000 dan 10,000 pekerja asing dari Indonesia tahun depan bagi memenuhi keperluan sektor pembinaan dan pembuatan, termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Sementara itu, Saravanan berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima 50,634 tuntutan faedah hilang upaya sementara dan permohonan ilat sebanyak 32,275 pada 2020, dengan 5,503 individu berkenaan disahkan ilat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.