Hasil sumbangan orang ramai, PPS Sementa mula operasi penuh

Hasil sumbangan orang ramai, PPS Sementa mula operasi penuh

Seorang guru di SRA Seri Sementa mengambil inisiatif membuka PPS Sementa tanpa menunggu arahan pihak berkuasa kerana semakin ramai mangsa banjir memerlukan tempat berteduh.

Antara mangsa banjir yang ditempatkan di SRA Sementa.
KLANG:
“Anak murid hantar mesej beritahu rumah mereka dinaiki air. Kebetulan saya guru di Sekolah Rendah Agama Sementa dan ahli MPKK, saya mohon pada guru besar untuk benarkan mangsa banjir berteduh di sini,” itu kisah bagaimana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sementa dibuka awal pagi Sabtu lalu.

Mohammad Razif Ibrahim, 29, yang merupakan guru SRA Sementa, berkata beliau terpaksa mengambil inisiatif membuka PPS Sementa tanpa menunggu arahan daripada pihak berkuasa selepas kawasan itu terputus hubungan dengan pihak luar berikutan jalan dinaiki air.

“Jalan semua dinaiki air. Ketika air naik dan PPS menerima mangsa banjir yang semakin ramai, kami tidak tunggu bantuan luar. Kami beroperasi guna sumbangan penduduk sekitar sahaja,” katanya yang juga ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sementa.

“MPKK Sementa arahkan kami turun ke kawasan banjir dan mengeluarkan mangsa banjir dan dibawa ke PPS ini.

“Kebetulan saya cikgu, jadi saya mohon bantuan dalam kumpulan WhatsApp dan ibu bapa yang tidak terkesan banjir mahupun mangsa banjir sendiri hulurkan bantuan tanpa henti.”

ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi (kiri) ketika melawat SRA Sementa.

Hampir 200 keluarga ditempatkan di PPS itu selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras lutut. Rata-rata mangsa banjir menyatakan ini kali pertama bencana itu melanda sehingga menenggelamkan perabot dan barangan elektrik, sehingga memaksa mereka bermalam di PPS.

Razif berkata, semua bangunan empat tingkat di SRA Sementa tidak cukup menampung jumlah mangsa banjir yang ramai sehingga sebilangannya terpaksa ditempatkan di Masjid Seri Sementa.

“Kita ada 17 kelas dan empat surau kita guna untuk menempatkan mangsa banjir. Ada dalam lebih 100 keluarga merangkumi hampir 500 orang yang terjejas dengan banjir.

“Bila premis kat sini penuh, kita buka penempatan di masjid sebelah sekolah ini. Lebih 30 mangsa menghuni masjid, termasuk ada keluarga bukan Muslim.”

Sebanyak 17 PPS dibuka di beberapa kawasan di Selangor yang dilanda banjir, terutamanya Klang, Shah Alam dan Kuala Langat, susulan hujan lebat sejak Jumaat lalu yang menyebabkan kawasan kampung dan taman perumahan dinaiki air sehingga memaksa penduduk terjejas berpindah.

Razif berkata, sekurang-kurangnya 15 pesakit positif Covid-19 didaftarkan sebagai mangsa banjir, namun mereka diasingkan di Sekolah Rendah Sementa, tidak jauh dari PPS Sementa.

“Ada lebih kurang 10 hingga 15 mangsa banjir yang positif Covid-19. Kita terpaksa asingkan mereka di sekolah rendah sana dan kita uruskan mereka dari sini. Kalau nak hantar makanan, kita akan letakkan di satu lokasi, kemudian kita hubungi mereka untuk keluar ambil makanan di lokasi itu.

“Mereka akan hubungi kita, kalau perlukan apa-apa bantuan. Alhamdulillah mereka hanya positif Covid kategori satu dan dua sahaja. Tiada yang kronik.”

ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi ketika ditemui FMT mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil inisiatif membuka PPS itu untuk mangsa banjir.

“Bantuan nak masuk ke Sementa tak dapat masuk sebab air naik tinggi, tapi saya ada arahkan pegawai saya sampaikan bantuan kepada PPS. Saya difahankam mangsa banjir akan mendapat bantuan RM1,000 daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri pula akan memberikan bantuan RM250 hingga RM500 kepada mangsa banjir mengikut jumlah kerugian.”

Daroyah sendiri juga mangsa banjir kerana rumahnya di Taman Tun Dr Ismail dinaiki air.

“Tapi tak apa, saya boleh uruskan sendiri, lebih penting masyarakat di DUN ini. Saya akan meninjau beberapa lagi PPS di kawasan ini dan agihkan sedikit sumbangan serta sokongan moral kepada mereka yang terjejas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.