
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah membincangkan akta berkenaan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
“Kita perlu fokus kepada banjir kilat sekarang. Atas semangat itu, rang undang-undang (RUU) akan ditangguhkan,” katanya di Dewan Rakyat.
Khairy berkata, dalam meminda RUU ini, amat penting bagi kerajaan mendapat penerimaan dan pematuhan rakyat.
Ini kerana ia melibatkan langkah-langkah kesihatan awam yang diperlukan untuk menangani bukan hanya Covid-19 malah sebarang penyakit berjangkit lain, tambahnya.
“Oleh demikian saya telah membentangkan pada jawatankuasa pilihan khas tadi segala butiran dan perincian mengenai pindaan ini termasuklah peraturan dan garis panduan yang diperlukan dalam pindaan.
“Kita telah dengar pandangan kumpulan pakar, yang telah memberi cadangan dan nasihat kepada jawatankuasa pilihan khas,” katanya.
Katanya lagi, penangguhan akta itu bukan kerana ia tidak disokong oleh pembangkang, tetapi ada beberapa maklumat perlu dibincangkan pada sesi akan datang supaya dapat dipersetujui bersama.
Jika pindaan Akta 342 hari ini tidak melalui undian, akan ada masalah dari segi pematuhan rakyat, katanya.
Dewan Rakyat bersidang sehari lagi hari ini bagi membahaskan pindaan Akta 342 membabitkan peningkatan kompaun bagi individu dan syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Pindaan itu mendapat tentangan sebilangan Ahli Parlimen atas alasan denda dan kompaun yang dikenakan adalah keterlaluan.