Banjir: RM100 juta untuk pulihkan Selangor, kata Amirudin

Banjir: RM100 juta untuk pulihkan Selangor, kata Amirudin

Ia meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut akibat banjir, RM1,000 bagi setiap keluarga, selain bantuan serta pemulihan infrastruktur, dan bantuan kesihatan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, keutamaan kerajaan negeri adalah menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan kepada mangsa di PPS dan membersihkan kawasan perumahan supaya mangsa boleh mula kembali ke rumah. (Gambar Facebook Amirudin Shari)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100 juta menerusi usaha ‘Selangor Bangkit’, bagi proses pemulihan negeri itu daripada musibah banjir yang melanda ketika ini.

Menteri Besar Amirudin Shari, berkata peruntukan tersebut meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat banjir serta bantuan RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir.

Beliau berkata, peruntukan itu turut merangkumi bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan.

“Kerajaan negeri akan mempermudah prosedur permohonan pemberian bantuan kepada keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak karenah birokrasi,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bersetuju memberi pelepasan bil air selama sebulan kepada akaun-akaun terkesan dengan bencana banjir.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman selama dua bulan kepada semua usahawan HIJRAH Selangor yang terkesan akibat banjir dengan implikasi kewangan berjumlah RM15 juta,” katanya.

Amirudin berkata, pada waktu ini, keutamaan kerajaan negeri adalah menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan kepada mangsa di PPS dan membersihkan kawasan perumahan mangsa supaya mereka boleh mula kembali ke rumah.

Beliau berkata, KDEB Waste Management akan menggerakkan lori pungutan sampah, jentera pengorek serta trak pihak-pihak berkuasa tempatan yang tidak terjejas ke kawasan yang memerlukan pungutan sisa-sisa dan sampah-sarap secepat mungkin.

“Setelah proses ini selesai, fokus seterusnya akan bertumpu kepada analisis skala kerosakan infrastruktur, pemulihan infrastruktur termasuk pengukuhan sistem tebatan banjir terutamanya kawasan-kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.