
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor Simon Templer Lo Tusa, berkata pihaknya melalui ‘Maritime Rescue Sub-Centre’ Johor Bahru menerima maklumat awal daripada rakan nelayan yang menghubungi Zon Maritim Batu Pahat, pada jam 8.30 pagi.
Susulan itu, beliau berkata pihaknya telah mengatur gerak Bot Bengteng 5 ke lokasi kejadian dan setibanya di lokasi, tekong bot nelayan berkenaan memaklumkan bahawa kejadian berlaku ketika bot itu sedang menarik pukat dan kedua-dua mangsa berada di belakang bot.
“Dalam kejadian itu, secara tiba-tiba pukat terputus dan membelit kaki kedua-dua mangsa lelaki berkenaan dan kemudiannya menyebabkan mereka terjatuh ke dalam laut.
“Mangsa, Goh Chin Ka, 66, dan Yap Kok Hoong, 33, dikatakan tidak memakai jaket keselamatan dan tidak boleh berenang. Usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh tekong bot namun tidak berhasil,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Simon, Op Carilamat diaktifkan pada jam 8.40 pagi dan Pos Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Zon Maritim Batu Pahat, selain operasi terbabit turut disertai oleh sebuah bot tentera laut serta komuniti nelayan setempat.
Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga telah menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini kepada Badan SAR Nasional (BASARNAS), Indonesia melalui Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC), Putrajaya.
“Mereka perlu melakukan beberapa persediaan iaitu mendapatkan maklumat ramalan cuaca terlebih dahulu dan memastikan peralatan keselamatan seperti jaket serta pelampung keselamatan sentiasa dibawa dan berada dalam keadaan terbaik.
“Sekiranya terdapat sebarang aduan kesalahan jenayah di laut atau kecemasan segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07-2199401) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.