
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya tidak menerima makluman awal berhubung kegiatan itu daripada mana-mana jabatan berkaitan mahupun pihak pengurusan program berkenaan.
“APMM memandang serius insiden membabitkan dua penuntut IPG yang dilaporkan lemas ketika menyertai Program Pendidikan Luar Kampus. Sebarang aktiviti berskala besar di laut atau kawasan perairan terbuka perlulah dimaklumkan dan mendapat kebenaran daripada agensi berkaitan.
“Ia bagi membolehkan penilaian risiko dilakukan serta langkah-langkah keselamatan sewajarnya diambil. Ini termasuk pemantauan keadaan cuaca, arus laut, serta kesiapsiagaan aset keselamatan jika berlaku kecemasan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Semalam, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas pada kira-kira 7.30 malam selepas dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.
Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan berkata, tragedi semasa kegiatan berkayak itu dipercayai berpunca daripada ombak dan arus kuat.
Tambahnya, kedua-dua mangsa memakai jaket keselamatan ketika menjalankan aktiviti tersebut.
Sementara itu, Noor Azreyanti hari ini berkata, dalam konteks kejadian itu, beberapa faktor keselamatan asas juga perlu diberikan perhatian, termasuk penyediaan jaket keselamatan yang mencukupi dan dipakai dengan betul.
“Selain itu, kehadiran jurulatih atau pengendali yang bertauliah dan berpengalaman, penilaian keadaan cuaca dan laut sebelum aktiviti dijalankan, penyediaan pelan tindak balas kecemasan yang jelas,” katanya.
“Semua pihak dan penganjur program luar dinasihatkan supaya tidak memandang ringan aspek keselamatan ketika merancang aktiviti di laut. Kerjasama awal dengan agensi keselamatan mampu mengelakkan kejadian tidak diingini serta melindungi nyawa peserta,” katanya.