
Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di sini, Zakir juga tidak bersetuju dengan laporan media beliau dilarang memberi ceramah umum di seluruh Malaysia selepas kejadian itu.
Zakir, 56, penduduk tetap yang tinggal di Putrajaya, menyatakan pendirian itu ketika disoal balas peguam Ranjit Singh yang mewakili Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, pada hari ketiga perbicaraan kes saman fitnahnya.
Peguam itu pada mulanya merujuk laporan bertarikh 18 Ogos 2019 yang memetik Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad antara lain berkata, Zakir boleh memberi ceramah dan menyebarkan Islam, tetapi bukan menyentuh isu politik. Ini termasuk beliau dikatakan membangkitkan sentimen perkauman melibatkan orang Cina dan India.
Mahathir dilaporkan membuat kenyataan itu selepas satu acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Zakir bagaimanapun tidak bersetuju dengan laporan itu, malah berkata telah menemui Mahathir selepas itu dan perkara itu tidak dibangkitkan.
Ranjit turut merujuk kenyataan bekas menteri, Rais Yatim pada 14 Ogos tahun sama bahawa Zakir sepatutnya dihantar pulang ke India kerana menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, peguam itu merujuk kenyataan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bersetuju Zakir patut diusir, manakala pengasas G25, Mohd Sheriff Mohd Kassim dipetik berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap penceramah itu kerana memanipulasi isu perkauman.
Zakir juga tidak bersetuju dengan laporan Malay Mail pada 20 Ogos 2019, beliau dilarang memberi ceramah di negara ini.
Menurut laporan itu, polis berkata keputusan berkenaan dibuat demi keselamatan negara dan mengekalkan keharmonian.
“Polis tidak menyampaikan mesej saya dilarang melakukan aktiviti seperti itu. Saya juga menyemak perkara itu dengan Ketua Setiausaha Negara ketika itu.”
Zakir malah berkata, beliau masih memberi ceramah dalam kumpulan kecil ketika kemuncak wabak Covid-19.
Ketika ceramah di Kota Bharu pada 8 Ogos itu, Zakir didakwa menggelar orang Cina di Malaysia “tetamu” di negara ini yang patut “pulang”, selain mengatakan penganut Hindu mempunyai “lebih 100 kali hak berbanding umat Islam di India”.
Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan fitnah terhadapnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz bersambung 14 Mac depan.