Jangan serah pemikiran kepada AI, kata ketua hakim negara

Jangan serah pemikiran kepada AI, kata ketua hakim negara

Wan Ahmad Farid Wan Salleh suarakan kebimbangan terutamanya terhadap peguam muda mengenai godaan untuk terlalu bergantung kepada teknologi itu.

WAN AHMAD FARID WAN SALLEH - CJ - COURT OF APPEAL
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh menggalakkan warga guaman untuk menerima AI, namun menggunakannya dengan bijak ‘sebagai bantuan, bukannya pengganti’.
PETALING JAYA:
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengingatkan ahli guaman tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI), sambil memberi amaran teknologi itu tidak sepatutnya menjadikan peguam sekadar ‘mesin’.

Dalam satu ucapan khas, Yang Amat Arif menyuarakan kebimbangan terutamanya melibatkan peguam muda mengenai godaan kebergantungan kepada teknologi berkenaan.

“Menjadi insan bermakna belajar, melakukan kesilapan, bergelut, dan mengingati. Tidak syak lagi ia (AI) telah menjadikan kita kurang menggunakan keupayaan mental sendiri.

“Apabila kita menyerahkan pemikiran kepada pihak luar (AI), memang menjimatkan masa. Tetapi, kita sedang kehilangan sebahagian diri. Kecekapan adalah untuk mesin,” katanya pada Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-undang Komanwel 2026 di Universiti Malaya.

Wan Ahmad Farifd menggalakkan warga guaman untuk menerima teknologi itu, namun perlu menggunakannya dengan bijak ‘sebagai bantuan, bukannya pengganti’.

Beliau turut menekankan kepentingan disiplin dalam berfikir secara mendalam, menyatakan hujah dengan jelas, dan melibatkan diri secara bermakna.

“Ini bukannya kemahiran ketinggalan zaman. Ia adalah asas utama kepada advokasi, penghakiman, dan keadilan,” katanya.

Beliau berkata, teknologi tidak dapat menimbang perasaan belas kasihan atau melaksanakan pertimbangan hati nurani, dan pastinya tidak mampu memahami kisah kemanusiaan di sebalik setiap kes undang-undang.

“Budi bicara kehakiman, kesaksamaan, dan kebebasan mesti sentiasa menjadi teras kepada apa yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata, ia menjadi sebab mengapa penaakulan etika perlu diterapkan sejak dari awal dalam cara undang-undang diajar dan diamalkan.

“Pada akhirnya, kita bukan sekadar melatih peguam untuk berhujah dengan baik. Kita sedang membentuk individu yang membawa harapan dan menegakkan keadilan.”

Pada November tahun lalu, Wan Farid menyamakan AI seperti gergaji rantai: berguna di tangan yang betul, namun berbahaya di tangan yang salah.

Hakim kanan itu berkata, AI sedang digunakan dalam penyelidikan undang-undang, analisis kontrak, analitik ramalan, malah dalam membuat keputusan kehakiman, namun ia tidak dapat menggantikan intipati tugas seorang peguam mahupun hakim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.