
Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, berkata, perbelanjaan pembangunan pula dianggarkan berjumlah RM80 juta dengan pecahan RM56.36 juta sebagai sumber hasil negeri, RM23.64 juta sebagai pemberian Geran Tahap oleh kerajaan persekutuan dan token sebanyak RM20 adalah pindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan.
“Oleh itu, dalam merangka Bajet Melaka 2022, hasil kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM428.91 juta dengan pecahan anggaran Hasil Cukai bernilai RM211.05 juta, Hasil Bukan Cukai berjumlah RM200.31 juta dan Terimaan Bukan Hasil bernilai RM17.55 juta,” katanya pada Persidangan Pertama (khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Kompleks Seri Negeri.
Sulaiman berkata, kerajaan negeri terus berusaha memulihkan prestasi kewangan dan antara fokusnya ialah mengawal defisit semasa, mengurangkan hutang dan meningkatkan rizab, menyelaraskan semula perbelanjaan sepatutnya ditanggung kerajaan persekutuan serta mengaktifkan penglibatan jalinan kerjasama di antara kerajaan dan pihak swasta.
Beliau berkata, bagi perkara berkenaan, kerajaan negeri berjaya mencapai sekurang-kurangnya dua kejayaan, iaitu rizab negeri ditingkatkan sebanyak RM15.970 juta setakat Disember 2021, berbanding RM960,000 pada 2020 di bawah Kumpulan Wang Amanah Simpanan Negeri Melaka.
Katanya, pencapaian hasil 2020 sebanyak RM392.88 juta, iaitu 100.7% melebihi sasaran RM390.22 juta, manakala pada 2021, hasil yang disasarkan adalah sebanyak RM445.96 juta.
“Sukacita saya maklumkan, berbanding 2020, walaupun dalam persekitaran pandemik Covid-19, terdapat peningkatan kutipan hasil sehingga 26 Dis 2021, kerajaan negeri mencapai kutipan hasil sebanyak 98.34%, iaitu bernilai RM438.57 juta.
“Bagaimanapun, berdasarkan kepada hasil-hasil yang belum direkodkan, hasil kerajaan negeri bagi 2021 dijangka akan melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Sulaiman berkata, Bajet Melaka 2022 juga dibentangkan sebagai “serampang banyak mata”, antaranya dilaksanakan sebagai bajet pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19, mula mengotakan sebahagian daripada janji-janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu dan mengatasi masalah bencana banjir.
Selain itu katanya, ia juga bagi memastikan kestabilan kerajaan, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pelancongan, sektor sosial, peluang-peluang pekerjaan, memperhebatkan inisiatif kebajikan rakyat demi kesejahteraan semua masyarakat yang limpahan kemakmurannya mampu dikecapi bersama.
Beliau berkata, bajet inklusif berkenaan akan menggabung dan menyusun semula inisiatif-inisiatif sedia ada serta baharu yang akan dilaksanakan dengan menumpukan kepada tiga fokus utama, iaitu kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan kecekapan tadbir urus.
Katanya, kesejahteraan rakyat akan mempunyai tiga strategi dan 17 inisiatif, kemampanan ekonomi (enam strategi, 17 inisiatif) dan kecekapan tadbir urus (satu strategi dan dua inisiatif).
Sempena pembentangan bajet itu juga, Sulaiman mengumumkan bantuan “one-off” diberikan melalui pembukaan akaun SSPN-i bernilai RM150 kepada bayi yang lahir di Melaka pada hari ini.
Bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 5,087 penjawat awam negeri Melaka yang akan dibayar seawal Januari dan April tahun depan.