
Bagi seorang jurufoto perkahwinan, yang hanya mahu dikenali Naim, 28, sejak 2020 banyak dugaan ditempuhi rakyat bermula dengan wabak Covid-19, krisis ekonomi dan yang terbaru bencana banjir.
“Dah macam-macam kita tempuh sepanjang dua tahun ini, saya sebagai rakyat cuma mahukan pentadbiran yang telus…kami muak dah tengok permainan politik, tahun 2022 bukan lagi masa nak main wayang,” katanya ketika ditemubual FMT.
Seorang pekerja syarikat swasta, Faiz Musa, 41, pula mengharapkan agar rakyat dan kerajaan saling memainkan peranan masing-masing dan berhenti menuding jari.

“Tahun 2022 kita buka buku baru, berhenti tunding jari, baik dari kerajaan atau rakyat kita pandang ke hadapan dan jalankan tanggungjawab kita masing-masing,” katanya.
Ditanya mengenai tiada sambutan ambang tahun baru, peniaga, Nor Azzira, 51, berkata tiada keperluan untuk diadakan sambutan berskala besar ketika ramai rakyat yang masih terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.
Azzira berkata, adalah sebaiknya dana yang diperuntukkan untuk sambutan tahun baru itu disalurkan kepada pihak yang lebih memerlukan sekarang.

“Sekarang negara kita pun baru lepas bencana banjir, kita faham kalau tiada sambutan tahun baru. Kalau nak buat sambutan besar-besaran dengan konsert dan sebagainya besar dana, baik duit itu diguna untuk bantu mangsa banjir,” kata Azzira.

Meskipun tiada sambutan berskala besar, hasil tinjauan FMT malam tadi mendapati orang ramai berada di lokasi tumpuan di sekitar ibu kota untuk menyambut kemuncak tahun 2022.
Antara kawasan tumpuan adalah di perkarangan Perbadanan Putrajaya dan Istana Kehakiman, dimana dapat diperhatikan orang ramai bersama keluarga dan rakan-rakan beriadah bersama melakukan pelbagai aktiviti.
Pasukan penguatkuasa dan polis turut dilihat memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai yang berada di sekitar kawasan perkarangan Perbadanan Putrajaya.