
Badan bukan kerajaan hak pekerja, Tenaganita berkata, bukan sahaja memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani secara tertutup pada 19 Dis lalu di Kuala Lumpur, butiran dokumen turut diselubungi rahsia.
Ini, katanya kepada Kementerian Sumber Manusia, bukan petanda baik terhadap rekod Malaysia melayan pekerja asing secara tidak berperikemanusiaan.
Pengarahnya, Joseph Paul berkata, berdasarkan dokumen yang dimuat naik di laman Facebook Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Dhaka, semua kos yang dibayar pekerja di kedua-dua negara akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan. Ia tidak akan dibayar pekerja melalui potongan gaji mereka.

“Ini sejajar syarat di bawah konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa berkaitan.
“Caranya perlu sedemikian yang majikan membayar yuran penuh pengambilan atau ia mungkin diklafisikasikan sebagai ikatan hutang,” katanya kepada FMT.
Pada 18 Dis lalu, FMT melaporkan majikan dijangka membayar kos penuh untuk membawa pekerja Bangladesh ke Malaysia di bawah MoU baharu.
Antaranya:
- Deposit keselamatan seperti yang dikehendaki Jabatan Imigresen Malaysia;
- Yuran pemprosesan;
- Pas pelawat (Pekerjaan Sementara);
- Insurans di bawah Skim Kecederaan Pekerjaan seperti diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, Skim Insurans Kesihatan Pekerja Asing (Spikpa) atau mana-mana skim insurans lain yang diperlukan untuk pekerja;
- Pemeriksaan perubatan di Malaysia;
- Pelepasan keselamatan imigresen;
- Tiket penerbangan untuk masuk dan keluar kali pertama selepas tamat kontrak;
- Yuran perakuan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh;
- Caj perkhidmatan oleh ejen berdaftar tempatan
- Ujian Covid-19.
Paul berkata, Tenaganita bimbang MoU itu mungkin tidak mempunyai peruntukan mengenai cara menangani penganiayaan yang dihadapi pekerja asing oleh majikan mereka dan mempersoalkan mengapa dokumen itu tidak didedahkan.
Dahulu, katanya, ramai pekerja perlu meminjam wang dan menggadaikan barang kemas mereka untuk datang bekerja di Malaysia serta bertungkus lumus selama bertahun-tahun bagi membayar tunggakan mereka di negara asal.
Hutang itu termasuk kos dalam dokumentasi dan pemeriksaan perubatan.
“Kami tidak mahu pengambilan dilakukan dengan cara rahsia yang boleh membawa kepada dakwaan buruh paksa. Banyak firma besar di Malaysia menanggung akibatnya untuk tindakan sedemikian dan ini mesti dielakkan dengan semua cara.”
Katanya, Malaysia kini di bawah penelitian global berhubung isu buruh paksa, yang akan menjejaskan pelaburan asing pada masa depan.
Menurut laporan media Bangladesh, Daily Star baru-baru ini, ejen rekrut di Dhaka mendakwa banyak syarikat palsu mendapat surat tuntutan kerja dari Kementerian Dalam Negeri di Malaysia menggunakan cara meragukan.
“Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur turut meluluskannya tanpa pengesahan.
“Itu menyebabkan keadaan di mana pekerja ke sana dan berdepan eksploitasi, termasuk pengangguran, tidak dibayar dan gaji berkurangan,” akhbar itu memetik seorang ejen sebagai berkata kedua-dua negara perlu memastikan pekerjaan itu tulen.
Menurut ejen itu, setiap pekerja Bangladesh perlu menghabiskan keseluruhan kira-kira RM9,000 untuk mendapat pekerjaan di Malaysia pada 2018 sebelum pembekuan dilaksanakan, sedangkan jumlah yang dipersetujui hanya sekitar RM1,750.
Laporan itu memetik agensi sebagai berkata, jika MoU itu dilaksanakan dengan betul, kos penghijrahan sebenar di pihak Bangladesh kurang daripada RM2,400, termasuk yuran dan kos ejen dalam dokumentasi.
Mengulas isu itu, Paul berkata, jika pengambilan itu tidak dikawal dan dipantau secara bersungguh-sungguh oleh pihak berkuasa berkaitan di kedua-dua negara, ia mungkin membawa kepada satu lagi keadaan kucar-kacir seperti dahulu.