Suami ditahan disyaki dera isteri, 9 anak

Suami ditahan disyaki dera isteri, 9 anak

Polis berkata, wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis mendakwa dia bersama sembilan anak berumur satu hingga 13 tahun menjadi mangsa dera suaminya.

Polis berkata, lelaki berumur 41 tahun yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan di Pulau Pinang semalam, selepas isteri suspek membuat laporan polis.
GEORGE TOWN:
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dera membabitkan isteri dan sembilan anaknya dalam kejadian di daerah Timur Laut, di sini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Rahimi Ra’ais berkata, lelaki berumur 41 tahun yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan semalam di negeri ini, selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada isterinya.

“Wanita berusia 31 tahun yang merupakan isteri lelaki itu membuat laporan polis mendakwa dia bersama sembilan anak mereka berumur satu hingga 13 tahun menjadi mangsa dera lelaki tersebut.

“Ekoran itu, polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan dia kini direman bermula hari ini hingga 6 Jan. Kes disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, rawatan perubatan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti berapa ramai anak pasangan itu menjadi mangsa dera, namun polis tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang cedera.

Ditanya sama ada wanita itu turut didera, Rahimi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan perubatan mangsa yang merupakan warga asing.

Katanya, beliau meminta kerjasama orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menyalurkan kepada polis bagi membantu siasatan.

Gambar seorang wanita bersama sembilan anaknya yang diselamatkan beberapa individu dengan bantuan NGO di Pulau Pinang selepas menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental oleh suami mangsa, tular dalam media sosial.

Berdasarkan gambar itu juga, terdapat kesan kecederaan melibatkan beberapa anak pasangan itu, malah wanita tersebut turut mendakwa dia juga didera secara fizikal dan mental sehingga terpaksa meminta bantuan beberapa individu untuk melarikan diri daripada suspek kerana tidak tahan menanggung derita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.