
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam bagi mengimbangi kebajikan pengguna dan penternak, dengan satu sesi libat urus bersama pelbagai agensi berkaitan diadakan semalam.
“Dalam sesi libat urus yang diadakan bersama pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan persatuan penternak, kita mendengar keluhan penternak mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat disebabkan kos import dedak ayam.
“Pengguna juga harus faham masalah ini sebab ia agak rumit. Bukan mudah nak letak harga rendah, tapi penternak tak dapat keluarkan bekalan. Jadi, kita akan bermasalah tiada bekalan nanti,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, di sini.
Nanta berkata, harga kawalan ayam hingga 4 Feb di peringkat runcit adalah RM9.10 sekilogram, namun mendapat keluhan penternak yang bukan sahaja melibatkan kos, tetapi tempoh skim kawalan harga terlalu lama.
Beliau berkata, kementeriannya akan mencari mekanisme terbaik bersama MAFI dan menjaga harga di peringkat runcit serta pemborong.
“Harga siling mungkin tinggi, tetapi kita akan lihat dahulu, sebab kita ada strategi lain seperti MAFI mengimport ayam dari luar. Kalau itu yang terjadi, harga tak perlu naik, sebab ada persaingan.”