Lepas efluen lebih had, syarikat penyembelihan ayam didenda RM30,000

Lepas efluen lebih had, syarikat penyembelihan ayam didenda RM30,000

Mahkamah Sesyen Alor Setar mendapati syarikat itu gagal mematuhi standard pelepasan efluen.

gavel
Mahkamah Sesyen Alor Setar menjatuhkan hukuman selepas pengarah syarikat mengaku bersalah atas dua pertuduhan. (Gambar Reuters)
ALOR SETAR:
Sebuah syarikat penyembelihan ayam di Bukit Pinang didenda RM30,000 selepas didapati melakukan dua kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata Mahkamah Sesyen Alor Setar membuat keputusan itu hari ini, selepas mendapati syarikat tersebut gagal mematuhi standard pelepasan efluen.

Beliau berkata, Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman selepas pengarah syarikat itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut.

“Kesalahan pertama ialah melepaskan efluen yang mengandungi kepekatan keperluan oksigen biokimia (BOD5 pada 20°C), pepejal terampai (SS) dan nitrogen ammonia (AN) melebihi had ditetapkan dalam Standard B, Jadual Kelima.

“Kesalahan kedua pula melepaskan efluen yang mengandungi kandungan keperluan oksigen kimia (COD) melebihi had ditetapkan Standard B, Jadual Ketujuh,” katanya dalam kenyataan.

Sharifah Zakiah berkata, syarikat tersebut dituduh bawah Peraturan 11(1)(b) dan 12(b) Peraturan-peraturan Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 yang boleh dihukum bawah Peraturan 32 peraturan sama.

Beliau berkata, sampel efluen yang diambil dalam operasi bersepadu oleh JAS Kedah bersama agensi lain pada 22 Julai tahun lalu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan hasil analisis mendapati syarikat itu melakukan dua kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.