Kerajaan cadang bina 4 mahkamah baharu di Sarawak

Kerajaan cadang bina 4 mahkamah baharu di Sarawak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembinaan mahkamah baharu itu melibatkan Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.

Masih banyak mahkamah di Sarawak yang bersidang menggunakan bangunan berkongsi dengan jabatan kerajaan lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar. (Gambar Sarawak)
KUCHING:
Kerajaan bercadang membina empat mahkamah baharu di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pembinaan mahkamah baharu itu melibatkan kawasan Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.

Beliau berkata, cadangan projek mahkamah baharu itu kini sedang dipertimbangkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, pembinaan mahkamah baharu di Sarawak adalah penting bagi menampung jumlah kes yang semakin meningkat.

“(Selain itu) saya mendapati masih terdapat banyak mahkamah di Sarawak yang bersidang menggunakan bangunan berkongsi dengan jabatan kerajaan lain.

“(Terdapat juga mahkamah yang) hakim perlu masuk ikut laluan orang awam. Sepatutnya hakim perlu ada jalan belakang untuk naik ke tempat duduk mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching.

Selain itu, Wan Junaidi berkata kerajaan juga bercadang untuk membina satu unit kediaman rasmi buat Hakim Besar Sabah dan Sarawak di Kuching.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata bawah RMK12, kerajaan telah meluluskan sebanyak 14 projek naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan bangunan mahkamah-mahkamah di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM9,212,700.

Katanya, projek naik taraf ini melibatkan Kompleks Mahkamah Kuching, Kompleks Mahkamah Bintulu, Kompleks Mahkamah Miri, Mahkamah Kota Samarahan, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Sarikei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.