Pengeluaran khas KWSP desakan rakyat bukan Umno, kata Zahid

Pengeluaran khas KWSP desakan rakyat bukan Umno, kata Zahid

Presiden Umno mempersoalkan adakah menyuarakan permintaan rakyat dianggap sebagai politik.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno merupakan sebuah parti politik milik rakyat dan hanya menyampaikan kehendak rakyat.
PETALING JAYA:
Umno mengulangi pendiriannya mengenai tuntutan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah desakan dari rakyat bukan dari parti Melayu itu.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata ini berikutan pelbagai tohmahan dilempar terhadap Umno disebabkan permintaan partinya supaya rakyat yang memerlukan dibenarkan membuat pengeluaran simpanan KWSP.

“Permintaan itu dituduh oleh seorang menteri kanan sebagai menghasut, manakala pemimpin pembangkang menuduh Umno mahu menghancurkan KWSP.

“Fahamilah permintaan itu bukan permintaan politik Umno, tetapi semata-mata berlandaskan permohonan dan keperluan semasa rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Zahid mempersoalkan adakah menyuarakan permintaan rakyat dianggap sebagai politik.

Katanya, gesaan membenarkan pengeluaran wang KWSP juga sudah banyak kali diperjelaskan dan lantang disuarakan oleh Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

“Sila baca komen rakyat Malaysia di media sosial berhubung perkara itu. Apakah Umno menyuarakan permintaan rakyat dikatakan sebagai politik.

“Maka tidak benar Umno dituduh mahu mengambil kesempatan sedangkan jika permintaan itu dipenuhi, menteri bertanggungjawab juga mengaut pujian,” katanya.

Zahid berkata Umno merupakan sebuah parti politik milik rakyat dan telah menyampaikan kehendak rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu akan dibuat oleh sebuah kerajaan campuran sama ada untuk bersetuju atau menidakkannya.

“Bagi parti politik keramat agama, bangsa dan negara akan terus sedaya upaya berusaha membantu rakyat dengan apa sahaja saluran atau sumber yang ada.

“Keazaman Umno untuk menjamin dan memperjuangkan kesejahteraan hidup rakyat tidak pernah terhenti kerana itulah kesalasilahan parti ini.

“Namun yang pasti keadaan adalah lebih mudah jika Umno masih menjadi teras kerajaan. Justeru jadikan segala yang disaksikan sebagai pedoman masa depan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP menerusi i-Sinar pada Mac lalu, dengan had pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi mengurangkan impak pandemik.

Kerajaan kemudian mengumumkan pengeluaran khas kedua menerusi i-Citra bermula Ogos lalu, dengan had pengeluaran RM5,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.