Sokong usaha capai status neutral karbon, DBKL tempah 60 bas elektrik

Sokong usaha capai status neutral karbon, DBKL tempah 60 bas elektrik

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat tempahan 60 bas elektrik penuh daripada pengeluar bas Kumpulan SKSBus yang akan diperoleh secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2023.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, penggunaan bas elektrik penuh akan dimulakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan bandar besar sebelum diperluaskan ke seluruh negara. (Gambar Bernama)
PUCHONG:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, penggunaan bas elektrik penuh akan dimulakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan bandar besar sebelum diperluaskan ke seluruh negara sebagai menyokong usaha negara mencapai status neutral karbon seawal 2050.

Beliau difahamkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat tempahan 60 bas elektrik penuh daripada pengeluar bas Kumpulan SKSBus yang akan diperoleh secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2023.

Ismail berharap syarikat bas lain dapat mencontohi usaha DBKL yang memberikan perkhidmatan bas percuma GoKL yang menggunakan bas elektrik bagi menjayakan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia neutral karbon seawal 2050.

“Untuk mencapai sasaran negara neutral karbon seawal 2050, semua pihak perlu terlibat,” katanya kepada media selepas melawat kilang integrasi bas elektrik penuh Kumpulan SKSBus di Pulau Meranti di sini.

Kumpulan SKSBus melalui unitnya SKS Coachbuilders Sdn Bhd mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam industri pembinaan bas. Ia adalah antara pengilang bas di Malaysia dengan pengesahan sebagai Barangan Buatan Malaysia dan dilengkapi dengan bantuan kilang robotik.

Kumpulan SKSBus sejak 2019 telah bekerjasama dalam bidang teknikal dengan Kumpulan CRRC China, iaitu pengilang lokomotif elektrik dan “rolling stock” terbesar di dunia untuk membina bas elektrik penuh.

Bas elektrik penuh SKSBus mampu melengkapkan perjalanan sehingga 250km dengan sekali pengecasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.