Lebih 12 maut bas bawa pelajar terjunam gaung

Lebih 12 maut bas bawa pelajar terjunam gaung

Kira-kira 20 lagi cedera dalam nahas itu.

Keadaan bas yang terjunam ke gaung sedalam 80m di sebuah kawasan luar bandar dekat Segovia di Colombia. (Gambar AFP)
MEXICO CITY:
Sebuah bas membawa pelajar sekolah dalam satu lawatan terjunam ke gaung sedalam 80m di Colombia, lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Lebih 12 orang” terkorban, menurut gabenor wilayah Antioquia di barat laut negara Amerika Selatan itu. Kira-kira 20 orang lagi cedera.

Tanpa menyebut sumber tertentu, media melaporkan sekurang-kurangnya 16 kematian.

Pelajar gred ke-11 dan terakhir itu dalam perjalanan pulang dari sebuah tempat penginapan di pantai Laut Caribbean ke Bello, berhampiran Medellín ketika kemalangan berlaku.

Menurut laporan media, kira-kira 40 penumpang berada dalam bas yang terbabit nahas di sebuah kawasan luar bandar berhampiran Segovia.

Mangsa cedera dibawa ke hospital. Menurut maklumat rasmi, kebanyakan mereka berusia 16 hingga 18 tahun.

“Hari ini hari yang menyedihkan bagi Antioquia,” kata gabenor itu.

Bas itu terkeluar daripada laluannya atas sebab yang belum dapat dipastikan, menurut laporan media.

Pihak berkuasa keselamatan trafik negara itu sedang menyiasat punca nahas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.