Kes tembak di Negeri Sembilan disyaki ada kaitan kongsi gelap

Kes tembak di Negeri Sembilan disyaki ada kaitan kongsi gelap

Polis masih mengesan beberapa suspek untuk membantu siasatan.

tembak port dickson
Tangkap layar video tular dua lelaki ditembak dalam Perodua Myvi di Jalan Rasah, Negeri Sembilan, Rabu lalu.
PETALING JAYA:
Kes tembakan menyebabkan seorang pengawal peribadi maut dekat Jalan Rasah di Seremban Rabu lalu dipercayai ada kaitan kongsi gelap, menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad.

Berdasarkan siasatan setakat ini, katanya, motif tembakan dipercayai berpunca daripada balas dendam sebuah kumpulan kongsi gelap.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat kaitan dan peranan tiga suspek ditahan dalam kes itu.

“Dalam tangkapan ini, pihak kami seperti mana semua sedia maklum, merampas sepucuk pistol bersama dengan beberapa butir peluru.

“Kami masih mengesan beberapa suspek untuk membantu siasatan,” katanya menurut Berita Harian pada program ‘FRU 70th Anniversary FitRun 2025’ yang disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun di Seremban.

Beliau menyeru orang ramai mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan polis.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 7 pagi Rabu lalu, dua lelaki tempatan parah selepas dikatakan ditembak dalam Perodua Myvi yang dinaiki di Jalan Rasah, sebelum dikejarkan ke hospital oleh orang awam.

Media kemudian melaporkan seorang daripada mangsa itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital kira-kira 12.50 tengah hari hari sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.