Polis siasat treler bawa helikopter halang lalu lintas

Polis siasat treler bawa helikopter halang lalu lintas

Polis berkata sebuah ambulans turut dilihat terganggu perjalanannya akibat kesesakan berpunca daripada treler membawa muatan helikopter.

treler bawa helikopter
Tangkap layar video tular menunjukkan kesesakan dari arah Lebuhraya Shah Alam ke susur Jalan Persiaran Kewajipan akibat sebuah treler membawa muatan helikopter pada 4 Dis lalu.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat video tular menunjukkan sebuah treler membawa muatan helikopter menyebabkan kesesakan lalu lintas dari arah Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ke susur Jalan Persiaran Kewajipan di Subang Jaya.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima laporan pada 8.06 malam tadi berhubung satu video tular menunjukkan kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku 4 Dis lalu kira-kira 4.30 petang, di mana sebuah treler sedang membawa muatan helikopter tidak dapat melalui susur jalan tersebut kerana muatannya terlalu panjang sehingga mengakibatkan kesesakan.

“Sebuah ambulans turut dilihat terganggu perjalanannya akibat kesesakan itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, nombor pendaftaran treler itu belum dapat dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Kaedah Rule 9(2) LN 166/59.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya, Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.