
Beliau berkata, kegiatan itu, walaupun tidak sampai ke tahap yang disifatkan boleh mengancam keselamatan negara, tetap dipantau rapi oleh polis.
“Saya telah diberi taklimat oleh Cawangan Khas tentang pertubuhan itu, corak kegiatannya, penglibatan tokoh tempatan dan sebagainya.
“Jadi, fakta nombor satu ialah sememangnya gerakan ini berada dalam radar pasukan keselamatan kita,” katanya selepas merasmikan Program Kembali ke Sekolah 2025 di Kulim, Kedah, lapor Bernama.
Beliau mengulas siasatan terhadap dakwaan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin berhubung kewujudan satu gerakan kultus dari Korea Selatan yang menyimpang dan dikatakan aktif di negara ini.
Saifuddin berkata, kegiatan gerakan itu didapati hadir dalam bentuk umum yang sekilas pandang tidak kelihatan mengancam keselamatan negara.
Tetapi, pemantauan berterusan oleh polis diteruskan bagi mengesan sebarang aktiviti boleh menggugat keselamatan negara.
“Jadi, barangkali kerana penampilannya begitu, maka penglibatan kehadiran beberapa tokoh politik itu berlaku … buat masa ini, kenyataan disebut (Asri) itu sememangnya organisasi tersebut berada dalam makluman pihak keselamatan kita.”