
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian berhubung perkara itu.
“Kita terima dan memang mengalu-alukan maklumat daripada orang awam jika berkaitan dengan salah laku polis, tetapi kalau membabitkan perkara yang menjatuhkan fitnah kepada polis, perkara ini memang kita tolak.
“Kita tidak akan beri muka dan saya akan siasat perkara ini. Kita akan pastikan orang yang sengaja buat fitnah terhadap polis akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Legacy 04 RX-Z X 125ZR Melaka Attack disempurnakan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, malam tadi.
Terdahulu, Dzulkhairi dalam kenyataan menegaskan anggota trafik tidak menghalang pergerakan sebuah ambulans seperti didakwa dalam video tular, manakala bunyi siren yang kedengaran dalam rakaman itu milik polis yang sedang menjalankan kawalan lalu lintas semasa mengiringi konvoi delegasi pelabur dari China.
Mengulas mengenai tiga suspek lelaki ditembak mati di Durian Tunggal, Alor Gajah, baru-baru ini, Dzulkhairi berkata siasatan pihaknya mendapati wanita yang mendakwa seorang daripada suspek ditembak itu merupakan suaminya adalah tidak benar.
Beliau berkata, wanita terbabit dan suspek itu hanya pasangan kekasih dan tinggal bersama selama tiga tahun, manakala isteri sebenar suspek pula berada di Johor.
“Wanita berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah sejak 2012 berkaitan kes curi kenderaan dan pernah ditahan di Jasin pada Julai lepas.
“Bapa wanita itu juga mempunyai 24 kes jenayah lampau dan kita masih mengesan lelaki ini kerana mempunyai dua laporan polis berkaitan kes curi kenderaan dan curi di dalam bangunan,” katanya.